BERSEMANGAT dan cukup teruja untuk ke cabaran seterusnya adalah merupakan rata-rata komen peserta ujibakat Ekspresi Kalam 2016 Pemidato Muda (PM) selepas beraksi di hadapan panel.
Ujibakat (audition) selama dua hari telah yang diadakan di Syabab Point dihadiri oleh 46 orang peserta untuk mencuba nasib ke cabaran seterusnya.
Ekspresi Kalam Pemidato Muda adalah program realiti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan dengan kerjasama Konfederasi NGO Kelantan (KNK).
Mereka akan berentap setiap Sabtu selama tiga minggu bermula 3 Disember depan dan seterusnya berada di Pentas Akhir EK pada 25 Disember.“Pelbagai aksi dan cara dilakukn oleh peserta untuk memikat serta menarik perhatian beberapa orang juri yang diketuai oleh Jamal Najmuddin Sulaiman,” kata Pengarah Ekspresi Kalam, Muhamad Hafiz Awang.
“Selepas dinilai berdasar kepada skema markah yang ditetapkan panel juri telah memutuskan lima orang peserta lelaki dan lima orang peserta perempuan untuk meneruskan cabaran empat persembahan pentas Ekspresi Kalam,” katanya lagi.
PM lelaki ialah Wan Muhammad Faizat Wan Mohd Sanusi, 18 tahun; Syahrul Adam Salleh Ibrahim, 15; Mohd Fitri Adanan, 15; Nik Muhammad Lutfil Hadi Ibrahim, 15 dan Ahmad Hakim Baihaqi Mohd Suhaimi, 19.
Manakala PM wanita pula Nur Fasihah Othman, 18; Siti Nor Aisyah Che Hassan, 21; Siti Nur Aisyah Hafizah Mat Nawi, 16; Mashanis Mohamad, 21 dan Nur Syafiqah Abd Rahman, 20.
“Peserta akan melapor diri dan menghadiri sesi Kuliah Ekpresi Kalam pada 27 November, 3.30 petang di Syabab Point Kota Bharu yang akan dikendali oleh tiga orang Mu’alim.
“Mereka ini akan membuat persembahan pertama di Laman Sejahtera Taman Hijau Kota Bharu pada 3 Disember depan jam 10 pagi,” ujar Hafiz lagi.
Sebelum daripada itu, sepuluh Pemidato Muda ini akan diperkenalkan pada Jumaat ini selepas kuliah pertama di Medan Ilmu Kota Bharu.
Orang ramai dijemput hadir untuk bersama setiap siri Persembahan Pentas Ekspresi yang bakal berlangsung beberapa hari sahaja lagi.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan menarik seperti pameran dan jualan NGO-NGO serta aktiviti yang membuka peluang penonton memperolehi hadiah istimewa.
Maklumat semasa Ekspresi Kalam 2016 Pemidato Muda boleh didapati dengan melawati laman sosial facebook Agenda Kesejahteraan Rakyat. – HARAKAHDAILY 27/11/2016