1,000 buku sejarah 17 SUK Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 1,000 naskah buku mengenai sejarah dan biodata 17 orang setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkhidmat sejak tahun 1921 hingga 2017.

Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mejar Md Anizam Abdul Rahman berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan negeri akan menerbitkan sekurang-kurangnya senaskah buku dengan kerjasama dari Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

“Buku ini sangat penting kepada masyarakat agar mereka dapat mengambil manfaat khususnya pelajar, mahasiswa dan sebagainya untuk dijadikan rujukan.

“Selain itu, buku ini juga amat penting kepada generasi akan datang untuk mengetahui sistem dan struktur pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran buku Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi di sini.

Buku setebal 136 muka surat itu yang sarat dengan sejarah setiausaha kerajaan negeri itu dijual pada harga RM20 di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, Anizam turut mengumumkan perancangannya bagi menerbitkan lebih banyak buku serta dokumen yang bersifat sejarah yang dimiliki Kelantan.

“Semua maklumat ini perlu diterbitkan, sekiranya maklumat ini tidak dibukukan, kemungkinan ia akan terus hilang ditelan oleh kemajuan zaman,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/2/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment