KOTA BHARU – Tarikh 11 April akan dijadikan sambutan Hari Kesihatan Negeri Kelantan pada setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Negeri Kelantan 2019 di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI pagi ini.
Katanya, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebersihan bagi menjamin persekitaran yang bersih dan sihat.
“Islam mengajar kita untuk menjaga kesihatan iaitu dengan cara mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Hidup dalam suasana yang bersih dan sihat akan mengelakkan diri kita daripada serangan penyakit berjangkit,” katanya.
Berhubung perkara yang sama, beliau mengesa supaya masyarakat perlu berubah sikap dan mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan dan kesihatan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Hilmi Abdullah, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin serta Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Pusat dan Negeri.
Pada majlis yang sama tiga buah buku dilancarkan iaitu Diet Mak-mak – panduan pemakanan untuk ibu mengandung dan menyusukan anak, Diet-Licious! 2.0 – panduan pemakanan untuk yang mahu menguruskan badan dan 25 Kes Penulis – himpunan kisah di hospital yang tak terlupakan.- UPKN KELANTAN 11/4/2019