KOTA BHARU: Program MyBeras yang dijangka dilaksana bermula Mei hadapan dianggap sebagai pengiktirafan skim beras percuma (al-Itaam) dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak enam tahun lepas.
dun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood berkata skim Al-Itaam yang dilaksanakan di Kelantan bermula akhir 2010 diteruskan sehingga ke hari ini.
“Program ini membuktikan Kelantan menerajui perubahan. Ini membuktikan suatu pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap program yang dilaksanakan di sini sejak enam tahun lalu,” katanya pada persidangan Dun.
Pada 26 Januari lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan program Myberas akan dilaksanakan pada Mac 2016 sehingga Februari 2017.
Bagaimanapun ia ditangguh pula kepada Mei 2016 kerana menghadapi masalah penyelarasan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan benar-benar menerajui perubahan.
“Kita mulakan skim al Itaam dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta pada 2010. Pelancaran rasmi pada Febuari 2011. Pada peringkat awal 100 orang miskin di setiap Dun menerima beras percuma.
“Pemilihan penerima yang layak dibuat daripada senarai e-Tegar. Dan sekarang telah ditingkatkan peruntukan kepada RM3 juta setahun,” katanya.
Oleh itu beliau berharap dengan adanya bantuan MyBeras membolehkan lebih ramai lagi penduduk miskin menerima beras percuma setiap bulan. – HARAKAHDAILY 9/3/2016