13 penduduk terima pampasan

TIGA belas penduduk Kampung Laut, Tumpat yang tanah mereka terbabit dengan pembangunan projek Kampung Warisan menerima pampasan berjumlah RM3,228,260, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, agihan itu membabitkan pampasan kediaman dan kos pembinaan yang diterima daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selaku pihak menguruskan projek berkenaan.

“Sebelum ini, kita sudah serahkan bayaran membabitkan 11 lot tanah berkeluasan 0.98 hektar sebanyak RM941,433.33 kepada penduduk berkenaan.

 “Ini adalab baki pampasan yang selayaknya diterima,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kaunter Majlis Daerah Tumpat Cawangan Wakaf Bharu, hari ini.

Mohd Faudzi berkata, pembangunan Kampung Warisan yang sudah dirancang sejak tahun lalu untuk mempromosikan Kampung Laut sebagai perkampungan tradisi serta memberi nilai tambah kepada penduduk setempat.

Katanya, ia dijangka menampilkan kelainan kerana pelan pembinaannya yang turut mendapat sentuhan penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubuk Jong, Pasir Mas.

Kerajaan negeri juga berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan untuk membina benteng tebatan banjir di kawasan tebing sungai bagi mengelak bencana.

“Pembinaan (benteng) itu penting bagi mengelak Kampung Warisan ditenggelami banjir dan kita juga tidak mahu Masjid Kampung Laut yang bakal dibawa pulang dari Nilam Puri nanti, terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faudzi berkata, kewujudan kaunter MDT Cawangan Wakaf Bharu memberi kemudahan kepada penduduk di daerah itu untuk menjelaskan cukai dan lain-lain urusan.

Beliau juga berharap MDT akan dapat mengumpul hasil lebih baik menerusi penambahbaikan perkhidmatannya.- HARIAN METRO 14/8/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment