TUMPAT – Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada penternak ikan sangkar yang rugi apabila ikan mati akibat fenomena El Nino di lagun Sri Tujoh.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri akan membantu bagi meringankan penderitaan penternak ikan sangka itu.
“Kita akan nilai kerugian yang ditanggung, sedikit imbuhan diberikan pada penternak yang kerugian akibat ikan sangkar mati,” katanya ketika bertemu penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh selepas lawatan kerjanya di Pejabat Pertanian Tumpat, semalam.
Turut serta, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Mohamad Deraman dan Pengarah Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh kerugian puluhan ribu ringgit apabila ikan siakap mati akibat air cetek kesan fenomena El Nino dan kuala tujuh tertutup.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Laguna Sri Tujoh, Yusof Che Mamat berkata, kerugian yang ditanggung oleh penternak di sini melibatkan anggaran sebanyak RM370,000 apabila 26.8 tan ikan mati.
“Ia melibatkan penternak ikan sangkar seramai 22 orang termasuk di Mentua, Sungai Getting dan Laguna Sri Tujoh,” katanya.
Menurutnya, ikan siakap yang mati itu untuk bekalan Ramadan nanti dan penternak di sini dalam berjaga-jaga kerana fenomena El Nino dijangka berakhir pada Jun ini. – Sinar Harian