15 Peniaga Terima I-Kios Melalui Program PPKB-PBT

KOTA BHARU– Seramai 15 peniaga menerima I-Kios pada Majlis Penyerahan I-Kios Kepada Peserta Program Kios Bandar Tahun 2018 Dibawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bertempat di Perkarangan Pejabat MPKB-BRI Cawangan Panji pagi ini.

I-Kios yang menggunakan tenaga solar itu adalah sumbangan daripada Bahagian Kesejahteraan Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertujuan untuk membantu menaikkan taraf hidup peniaga-peniaga PBT bandar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dalam ucapan perasmian berkata, MPKB-BRI perlu meningkatkan usaha dari sudut perancangan memandangkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang untuk kepentingan bersama.

“Persefahaman dan kerjasama yang erat di antara PBT dan peniaga amat penting dalam memastikan kejayaan sesuatu program untuk kepentingan kedua-dua belah pihak.

Kita menggalakkan orang ramai terbabit dalam aktiviti perniagaan bagaimana pun mereka perlu melalui saluran yang betul dengan mematuhi segala peraturan khususnya dalam menjaga kebersihan,” katanya.

Berucap sama pada majlis tersebut, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kesejahteraan Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Muhamad Musa menjelaskan bahawa peruntukan untuk program ini disalurkan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke PBT.

“I-Kios adalah salah satu program Bahagian Kesejahteraan Bandar untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah terutamanya yang berdaftar dengan e-Kasih bagi membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup penduduk bandar.

Peniaga-peniaga yang menerima sumbangan ini hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya ianya mampu mengubah taraf hidup memandangkan sudah ramai yang berjaya melalui program ini,” katanya.

Tambahnya, pihak Kementerian dan PBT akan sentiasa memantau peniaga-peniaga bagi memastikan ianya berjalan lancar dan mampu meningkatkan pendapatan peniaga.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah ahli-ahli majlis serta ketua-ketua jabatan MPKB-BRI.- UPKN 15/11/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment