1766 Graduan UMK Terima Ijazah Pada Istiadat Konvokesyen Ke-6 2016

webmaster

umkkonvo2KOTA BHARU– TENGKU Mahkota Kelantan, YTM. Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah berkenan menghadiri Istiadat Konvokesyen Keenam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menganugerahkan ijazah kepada 1766 graduan daripada lima fakulti pada sesi sidang pertama di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan, pada 24 September 2016.

Tengku Mahkota Kelantan yang juga Tuanku Pro Canselor UMK turut berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Doktor Falsafah kepada Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Budaya Kerajaan Malaysia bertaraf Menteri kepada Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Istiadat konvokesyen UMK kali ini berlangsung selama empat hari berturut-turut mulai 24 hingga 27 September 2016.

umkkonvo1Turut hadir dalam istiadat konvokesyen ini adalah Menteri Besar Kelantan, YAB.  Dato’ Ahmad Yaakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Mohd Faudzi Hj. Che Mamat dan Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed.

Dalam titah YTM Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra, kerajaan Kelantan dan Persekutuan diminta bekerjasama dengan UMK bagi menubuhkan sebuah akademi pemikir bagi membangunkan negeri itu.

Titah baginda, anggota akademi tersebut harus terdiri daripada profesor dan pakar dari UMK, kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kerjasama itu bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan di Kelantan, di samping mengenal pasti hala tuju dan peluang untuk membangunkan negeri ini,” titah baginda.

Baginda juga bertitah, kerjasama itu hendaklah menyelesaikan beberapa isu yang perlu diberi perhatian untuk diselesaikan seperti  bekalan air bersih, banjir, pengurusan sampah, alam sekitar, sosioekonomi masyarakat luar bandar dan penyalahgunaan dadah.

Kewujudan UMK memberi impak yang besar kepada negeri Kelantan dalam pembangunan insan dan masyarakat, menjana ekonomi, sektor pertanian, pendidikan dan pembangunan wilayah, titah baginda.

umkkonvo3“Sehubungan itu beta ingin melihat impak yang lebih besar dalam pelbagai sektor. UMK memerlukan strategi yang lebih menyeluruh dan dinamik,” titah baginda.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, pada istiadat konvokesyen kali ini UMK meraikan seramai 1,766 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing dalam enam (6) sidang istiadat konvokesyen.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai sembilan (9) graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 19 graduan Ijazah Sarjana, 63 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,675 graduan Ijazah Sarjana Muda.

“UMK telah banyak melangkah kehadapan dan sehingga kini enrolmen pelajar UMK telah mencecah 10,000 orang pelajar, di tiga kampus iaitu Kampus Kota, Bachok dan Jeli pada peringkat ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran.

“Enrolmen ini akan terus bertambah dengan penubuhan dua (2) fakulti baharu pada tahun ini masing-masing menawarkan tiga (3) program ijazah sarjana muda iaitu Fakulti Senibina dan Ekistik dan Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti,” katanya.

umkkonvo4Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, dalam aspek penyelidikan dan inovasi, sejumlah 69 geran penyelidikan dalaman dan luaran sedang giat berjalan termasuklah  geran penyelidikan Antarabangsa Kesatuan Eropah Erasmus dalam bidang Literasi Media.

Beliau berkata, aktiviti penyelidikan pada tahun 2016 turut menyumbang kepada universiti dalam meraih anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar Negara seperti meraih 10 pingat dalam Malaysian Technology Expo (MTE 2016), Best Biotechnology Award, dan pingat emas dalam World Invention Innovation Contest (WiC) 2016 di Korea Selatan.

“Sehingga kini Universiti telah menfailkan 14 paten hasil penyelidikan yang bersedia untuk dikomersialkan.

“Pada tahun ini juga, sebanyak 303 penulisan ilmiah telah diterbitkan di dalam jurnal berindeks yang menunjukkan peningkatan sebanyak 360 peratus berbanding tahun sebelumnya dan peningkatan ini adalah tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia mengikut Pusat Sitasi Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha penyelidikan di UMK diperkukuhkan dengan penubuhan satu lagi institut berlandaskan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor pada Istiadat Konvokesyen yang ke-5 tahun lepas, mengenai perlu adanya sebuah pusat khusus bagi mengukuh bidang pertanian dan peternakan di negeri Kelantan.

“Untuk makluman, UMK telah menubuhkan sebuah pusat Kecemerlangan yang di namakan  sebagai Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (Institute for Food Security and Sustainable Agriculture).

“Institut ini telah memusatkan semua kepakaran dan sumber universiti yang berkaitan dibawah satu pengurusan supaya penumpuan yang lebih jitu dapat di tumpukan demi pembangunan industri ini dimana sehingga kini institut ini mempunyai 28 penyelidik utama baharu dan telah berjaya meraih 89 jurnal berindex, 41 geran penyelidikan, 63 pelajar pascasiswazah dengan geran terkumpul untuk tahun ini sebanyak RM 2.8 juta,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, dalam aspek pembangunan fizikal sebanyak 24 projek pembangunan sedang digerakkan di Kampus Bachok dan Kampus Jeli dengan peruntukan melebihi RM260 juta dan akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2018.

Katanya, antara projek dalam pembinaan adalah kompleks dewan besar, pusat pentadbiran dewan kuliah, pusat perkhidmatan mahasiswa, kompleks Pusat Islam, fakulti dan Pusat, bangunan Canselori, perpustakaan serta menaiktaraf jaringan jalan di dalam kampus.

“Dengan siapnya pembinaan ini dengan lanskap alam sekitar yang dirancang, UMK akan menjadi tempat yang pasti akan dirindui oleh warga dan tetamu yang berkunjung,” katanya.- WEBSITE UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN 25 SEPT 2016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Wanita bukan Islam di Kelantan; antara persepsi dan realiti

Kelantan tidak menyekat hak berbudaya dan beragama di kalangan warga bukan Islam, termasuklah wanita-wanita bukan Islam, baik Cina, India, Siam dan orang asal. Bahkan proses asimilasi budaya ini telah berlangsung sejak lama dahulu. Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam dan peneraju perubahan turut melantik wakil-wakil di antara kaum ini di […]

Subscribe US Now