2,000 armalah terima bantuan

TUMPAT – Sejumlah RM400,000 bantuan kerajaan negeri diagihkan kepada 2,000 armalah di Parlimen Tumpat melibatkan empat Dun sempena Ramadan ini.

Bantuan tersebut disalurkan melalui JKM untuk meringankan bebanan mereka yang kurang berkemampuan.

2,000 armalah itu dari Dun Pasir Pekan, Dun Pengkalan Kubor, Dun Kelaboran dan Dun Wakaf Bharu di mana setiap penerima menerima RM200 seorang.

Penerima, Siti Aminah Seman, 21, berkata, ini kali pertama dia menerima bantuan armalah selepas bergelar ibu tunggal setahun lalu.

“Syukur terpilih kerana sumbangan ni amat bermakna untuk keperluan anak saya yang berusia dua tahun.

“Sejak bergelar ibu tunggal, semua perbelanjaan saya dan anak ditanggung ibu bapa saya kerana saya tak bekerja,” katanya dari Pantai Haji Nik Mat.

Penyampaian wang tersebut bagi Dun Pasir Pekan disempurnakan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid bersama Pegawai JKM Tumpat, Mohd Joharye Shafie di pekarangan bangunan Ubaidurahman Kampung Paloh.

Rogayah Muhamud, 54, pula berkata, dia bersyukur menerima bantuan itu bagi menampung perbelanjaan enam anaknya.

“Walaupun anak-anak saya sudah dewasa tapi tiga lepasan universiti masih menganggur.

“Cuma saya harapkan kepada anak lelaki saya berusia 28 tahun yang kerja sebagai nelayan,” katanya.

Menurutnya, bantuan itu akan digunakan sebaiknya kerana ianya hanya setahun sekali untuk ibu tunggal yang tidak terima bantuan JKM.

“Sejak suami meninggal tiga tahun lalu, saya buat macam-macam kerja kadangkala ambil upah kacau serunding, risik lidi dan daun rokok.

“Sekurang-kurangnya saya ada belanja untuk sara anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Joharye berkata, semua agihan itu selesai dilakukan di empat Dun dengan agihan terakhir di Dun Wakaf Bharu.[SINAR HARIAN]

(Visited 19 times, 1 visits today)

Add Comment