2,200 ekar dirizab Orang Asal di Pos Gob

posKOTA BHARU: Kehadiran dalang dipercayai menghasut masyarakat Orang Asal mengganggu aktiviti pembalakan di pedalaman, tidak menghalang usaha kerajaan negeri membela nasib golongan berkenaan.

Tanpa mereka sedar di Pos Gob, tempat berlaku sekatan laluan lori balak baru-baru ini akan digazet kerajaan negeri untuk masyarakat Orang Asal.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, Jabatan Perhutanan akan menyediakan kawasan seluas lebih 2,200 ekar sebagai kawasan rayuan dan tempat mencari makan di Pos Gob.“Kerajaan negeri sebenarnya sudah melakukan pelbagai usaha bagi membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Begitu juga masyarakat Orang Asal yang tinggal di pedalaman Kelantan. Sehingga sekarang sudah banyak kelulusan tapak rumah diberi kepada mereka,” katanya di sini.

Kelantan merupakan negeri pertama di negara ini memberi kelulusan surat hak lot tanah kepada masyarakat Orang Asal.

Tahun lepas penduduk di Kuala Betis mendapat geran lot rumah. Sebelum itu penduduk di Pos Sendrop juga menerima surat akuan milik tanah.

Baru-baru ini penduduk Orang Asal di Pos Gob melakukan sekatan bagi menghalang laluan lori balak.

NGO dan pemimpin parti politik mendedahkan gambar mereka di media sosial bersama masyarakat Orang Asal di penempatan terbabit.

Ustaz Ahmad juga berkata, program pembangunan kerajaan negeri juga dilibat masyarakat Orang Asal termasuk sebagai peserta Pembangunan Ladang Rakyat.

Menurutnya, seramai 450 orang daripada masyarakat terbabit menjadi peserta Ladang Rakyat yang menerima dividen sebanyak RM200 sebulan.

“Yayasan Amanah Tok Kenali juga sedang membangunkan penempatan baharu di Pos Jedip,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment