KOTA BHARU – 270 pasangan dari 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) memeriahkan Majlis Raikan Cinta Perdana 2023 bersama pasangan romantis, Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan isteri, Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Abdul Hamid.
Majlis anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U- BeS) itu berlangsung di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Dato’ Ahmad mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu dan syabas kepada U-BeS atas kejayaan majlis yang dilaksanakan bagi mempromosi skim Gerbang Az-Ziwaaj kepada pasangan baru berkahwin dan memberi motivasi kekeluargaan.
Katanya, bermula 2011 hingga kini, 26,472 pasangan telah menerima skim Gerbang Az-Ziwaaj dengan peruntukan sehingga RM 3 juta setahun.
“Kerajaan negeri sudah membelanjakan RM62.7 juta untuk membantu pasangan yang baru berkahwin menerusi skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dalam mesyuarat exco baru-baru ini, pihaknya memutuskan untuk menaikkan skim itu daripada RM1,000 kepada RM2,000 sesuai dengan situasi ekonomi semasa.
Antara pengisian yang dapat dimanfaatkan oleh hadirin dalam majlis tersebut ialah Taklimat Panduan Buku Keluarga Mawaddah disampaikan Ustazah Asmak Hussin.
Manakala tips rumahtangga pula dikongsikan Ustaz Saibon Ismail menerusi slot Santai Selogho.
Dalam majlis yang sama, pasangan bertuah menerima tajaan pakej penginapan berbulan madu.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita9pg