Lembu sado lahir di Kelantan

webmaster

KOTA BHARU – Beratnya boleh melebihi 1,000 kilogram manakala harganya boleh mencapai sehingga RM30,000 seekor.

Maka tidak peliklah, lembu sado ini dianggap haiwan yang bernilai tinggi dan menjadi satu kegilaan orang ramai untuk memilikinya.

Dengan sifatnya yang tidak agresif dan mudah diternak, lembu ini dikatakan menjadi sebutan dalam kalangan penternak, malah ada yang menjadikannya sebagai hobi sampingan.

Selain besar dan mempunyai daging yang banyak, lembu yang terkenal dengan otot ini mudah diurus.

Bangunkan ‘Jenama Kelantan’

Di negeri ini, jenis lembu sado paling tersohor diternak ialah baka charolais, selain dari jenis limousin dan belgian blue.

Memandangkan Kelantan negeri pertama yang secara aktif  membiak baka lembu sado, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan kini berhasrat membangunkan baka lembu yang ada menggunakan ‘Jenama Kelantan’ menjelang 2020.

Menurut Pengarah JPV Negeri, Dr Suratan Kamaruddin, sistem penternakan lembu jenis itu dilakukan pembiakan secara semi-intensif atau separa kurungan dan menggunakan kaedah pemanian beradas bagi tujuan pembiakan.

“Lembu sado ini memang cantik dan boleh jadi daya tarikan kepada peminat lembu bukan sahaja dari negeri ini, malah dari negeri-negeri lain.

“Di Kelantan, daerah Bachok, terutama di Kampung Kubang Golok sering jadi tumpuan kerana ada usaha penternakan lembu-lembu sado ini.

“Pihak jabatan merancang untuk menjadikan penternakan lembu hibrid sado sebagai sektor agro pelancongan, terutama di negeri ini,” katanya.

Menurut Dr Suratan, JPV negeri ini memiliki kakitangan mahir dalam pembiakan lembu kacukan termasuk mempunyai 20 jurusuntik pemanian beradas swasta, selain adanya jurusuntik awam yang dilatih dan diberi tauliah oleh jabatan.

“Dalam soal ini, jabatan sudah pun menganjurkan Bengkel Penternakan Lembu Kacukan Sebagai Pemacu Sektor Agro Pelancongan Kelantan menjelang 2020,” katanya.

Kelantan mampu biak lembu sado

Beliau berkata, sejarah penternakan lembu sado ke negeri ini bermula pada 1973 dengan kemasukan 350 dos semen beku dari beberapa baka seperti fresien, jersey dan Australian Milking Zebu (AMZ), brahman sindhi, santa gethrudis, hereford dan angus.

Pada tahun berikutnya, beberapa baka lain mula dibawa masuk seperti brangus, bali, boran, chiania, belgian blue, blonde d’aquitaine dan piedmontese.

Pada 2004, JPV mulai merancang mengembangkan baka yang mampu memacu pengeluaran lembu pedaging kacukan yang menyumbang kepada peningkatan pengeluaran dalam negeri.

Tiga baka mempunyai ciri berotot yang dipilih ialah belgian blue, charolais dan piedmontese.

Dr Suratan berkata, bagi meningkatkan usaha menternak lembu sado, ada penternak mengetengahkan hasil ternakan mereka di pelbagai pameran termasuk Ekspo Pameran Pertanian Malaysia (Maha), Ekspotani atau Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN).

“Penternak lembu kacukan di Kelantan memang mempunyai pengalaman dan kemahiran tersendiri dalam mengurus ternakan dan pembiakan lembu kacukan berkualiti.

“Menarik juga kerana di negeri ini, banyak terdapat kawasan tanah pertanian yang menghasilkan bahan hijau yang boleh dijadikan sebagai sumber makanan murah dan menjimatkan,” katanya.

Lembu sado capai harga RM30,000 seekor

Menariknya lagi, lembu bersaiz besar dan nampak gagah itu mempunyai nilai harga semasa harga yang terus meningkat.

“Tinjauan mendapati induk-induk kacukan charolais generasi ketiga (F3) mampu mencecah harga RM30,000 seekor.

“Generasi ketiga ini, semakin lama semakin cantik, malah pada masa ini, ada seekor induk lembu charolais F3 yang bernilai RM37,000 di Banir Belikong, Pasir Puteh sudah mendapat perhatian pembeli.

“Bayangkan, berat lembu sado ini boleh mencecah kepada 1,200 kilogram, sudah pasti harganya cukup tinggi dan memberi pulangan lumayan, ianya bergantung kepada penternak untuk mengubah diri,” katanya.

Beli semen beku lembu sado secara strategik

Dalam strategi pelaksanaan terkini, Dr Suratan berkata, mulai 2016, pihak jabatan mulai membuat pembelian semen beku lembu secara strategik dengan membeli sebahagian daripadanya dari sexed semen.

Katanya, sexed semen berkenaan adalah semen betina lembu charolais yang bertujuan untuk meningkatkan bilangan induk berkualiti dalam negeri.

“JPV Kelantan juga turut mengadakan kempen ‘Jom Pakat Simpan Induk Berkualiti’ yang dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

“Dengan kebenaran Exco berkenaan, jabatan mendapat kebenaran menggunakan peruntukan pembangunan daripada kerajaan negeri, RM325,000 setahun bagi menjalankan program perintis pawah secara fidlot,” katanya. [SINAR HARIAN]

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Pemimpin 14 wilayah Thailand kunjungi Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 80 orang rombongan mewakili Lembaga Pentadbiran 14 Wilayah  Thailand mengunjungi kerajaan Kelantan semalam. Lawatan yang terdiri dari yang dipertua dan pegawai-pegawai kanan setiap wilayah itu untuk mengeratkan hubungan dua hala antara kedua belah pihak. Sebelum rombongan diraikan dengan jamuan tengahari, 14 orang pimpinan peringkat wilayah berkenaan mengunjungi […]

Subscribe US Now