300 bungkus nasi tidak dapat diserah

GUA MUSANG: Hasrat kumpulan NGO dan Majlis Tindakan Dun Paloh membawa bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli di Kuala Koh hari ini tidak kesampaian.

Bekalan makanan yang dibawa untuk penduduk Orang Asli.

Rombongan tersebut yang turut disertai anggota parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dan Penyelia Dun Paloh Ustaz Azman Ahmad tidak dibenarkan masuk ke penempatan Orang Asli.

Azman berkata, pihak berkuasa mengadakan sekatan di Felda Aring 10 yang terletak kira-kira 10 km daripada penempatan Orang Asli di Kuala Koh.

Katanya sebanyak 300 bungkus nasi yang sepatutnya dibawa untuk masyarakat Orang Asli tidak dapat dihantar kepada mereka.

“Pihak berkuasa bimbang ada jangkitan apabila ramai orang awam masuk ke penempatan Orang Asli di Kuala Koh.

“Barangan keperluan yang hendak dihantar mereka minta serah kepada pihak berkuasa di situ yang akan membawa masuk ke penempatan Orang Asli,” katanya di sini.

Rombongan NGO dari Kota Bharu bertolak dari JKR 10 malam tadi dengan pelepasan dilakukan anggota parlimen Kubang Kerian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

NGO terbabit termasuk Misi Kembara Dakwah (MKD), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan, Yayasan Amal Malaysia, Jabatan Amal Malaysia dan Kelantan Care.

Azman juga berkata, bekalan air bersih yang dihantar menggunakan lori semalam pun tidak dibenarkan masuk terus ke penempatan Orang Asli.

Katanya pasukan Bomba dan Penyelamat dikatkan akan membawa masuk bekalan air bersih tersebut ke penempatan Orang Asli.

Difahamkan pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am dan pelbagai agensi kerajaan berkampung di Felda Aring 10.

Terdapat kira-kira 100 anggota dan pegawai daripada agensi kerajaan terbabit di kawasan berkenaan.

Rombongan MTD Paloh dan NGO turut mengadakan solat hajat di lokasi berdekatan bagi memohon kesejahteraan penduduk Orang Asli. – HARAKAHDAILY 12/6/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/11445-300-bungkus-nasi-tidak-dapat-diserah

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment