Program agama sukar ditemui pada era BN

KOTA BHARU: Rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan PAS menerajui negeri ini, biar pun kedengaran suara sumbang pemimpin serpihan PAS.

Seorang peniaga Rohani Omar berkata perkembangan ekonomi Kelantan pesat biar pun sering berdepan halangan politik kerajaan pusat.

Katanya, kedatangan pelancong pada hujung minggu atau cuti umum membawa rezeki kepada peniaga.

rohani

“Saya rasa ini antara keberkatan apabila kerajaan negeri menjadikan agama sebagai panduan dalam kehidupan. Solat hajat dan munajat sering dianjurkan. Sedangkan dahulu program seperti itu sukar ditemui kerana ia tidak menjadi agenda utama kerajaan pada masa tersebut,” katanya di sini.

Beliau juga berkata hubungan kaum di Kelantan begitu erat termasuk masyarakat non-Muslim.

Nik Sulaiman Nik Wan dari Kota Bharu berkata berkata masyarakat Melayu di Kelantan suka mengimarah masjid hasil dakwah berterusan kerajaan negeri.

Katanya program kuliah dan ceramah agama ada di mana-mana termasuk juga di pasar raya dan pejabat kerajaan.

“Dahulu saya kasihan melihat orang PAS sering ditekan pemimpin Umno termasuk pemuda tahan lasak pada zaman awal PAS muncul di Kelantan. Pemimpin Umno sering menekan penyokong PAS kerana pada masa itu mereka berada dalam keadaan lemah,” katanya.

Bahkan kata beliau ada jambatan dibakar di Rantau Panjang bagi menghalang orang PAS keluar mengundi.

Beliau juga menyokong usaha kerajaan negeri mengeratkan kerjasama dengan kerajaan pusat bagi membolehkan banyak kemudahan untuk rakyat diselesaikan.

Katanya sempena sambutan 60 tahun PAS Kelantan pemimpin hendaklah lebih proaktif lagi memajukan negeri.

“Saya juga setuju undang-undang hudud dilaksanakan dengan membawa usul persendirian di parlimen bagi meminda Akta Mahkamah Syariah,” katanya.

Aktivis NGO dari Pengkalan Chepa Mohd Zain Omar, 57 pula berharap tidak ada pemimpin PAS yang mencipta gimik sendiri sehingga memperlihatkan pertentangan dengan pemimpin yang ada sekarang.

Katanya, tindak tanduk pemimpin tertentu sekarang seolah-olah memperlihatkan hanya beliau sahaja yang sempurna.

“Ini dapat dilihat biar pun penjelasan sudah dibuat berkali-kali namun beliau enggan menerimanya. Lebih malang lagi ketika penjelasan dibuat di Dun Adun terbabit tidak hadir,” katanya. -HARAKAHDAILY 17/11/2015

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment