RANTAU PANJANG: Sehingga hari ini seramai 159 mangsa banjir daripada 63 keluarga dipindahkan di lima kampung di Pasir Mas akibat banjir.
Antaranya Kampung Rahmat Hilir, Kampung Bukit Sukar, Kampung Rahmat, Kampung Lubok Stol dan Kampung Kedai Lama.
Mereka dipindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat, Madrasah Haji Daud, SK Gual Tok Deh dan SK Rantau Panjang 2.
Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, paras air Sungai Golok semakin meningkat kepada paras merbahaya akibat hujan lebat sejak kelmarin.
“Saya berharap semua penduduk siap sedia berpindah jika keadaan merbahaya, jangan berpindah pada saat akhir kerana risikonya tinggi.
“Sama-sama kita berdoa agar banjir tidak besar tahun ini seperti yang berlaku beberapa tahun lepas,” katanya.
Manakala di jajahan Kuala Krai bilangan mangsa banjir yang dipindahkan seramai 438 daripada 127 keluarga.
Pagi semalam Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob bersama
Anggota Exco Mumtaz Md Nawi melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Pejabat Veterinar dan Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil.
Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan terbabit.
Hadir sama Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah dan Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Azmi Tengku Jaafar. – HARAKAHDAILY 2/1/2017