KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan khas untuk mengawal dan menyelia kawasan kuliah Jumaat di Dataran Medan Ilmu, berikutan beberapa tangkapan membabitkan minta sedekah dan menyamar mengutip derma.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selepas ini pihaknya tidak melarang urus niaga di kawasan berkenaan, sebaliknya tidak mahu ada sindiket meminta sedekah atau mengutip derma.
“Nak berniaga ok tetapi kalau nak ambil peluang minta sedekah, kita tak benarkan sebab itu usaha tidak baik, lagipun kita nak jadikan kawasan ini aman, murni dan tempat mendapat ilmu serta selamat.
“Kita (kerajaan negeri) turut meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Pas sendiri perlu ada pemantau yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di sini, semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Nazri Husin berkata, menerusi Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau semalam, 14 kes dikenal pasti melibatkan kawasan Medan Ilmu, Wakaf Che Yeh dan Pusat
Transformasi Luar bandar (RTC), Tunjong.
“Antara dikenal pasti termasuk seorang peminta sedekah yang memberi alasan mahu membiayai adik sakit strok, minta bantuan banjir di Kampung Laut dan enam sekeluarga iaitu ibu, bapa dan empat anak meminta sedekah menggunakan plastik.
“Mereka tiada kelulusan daripada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) atau kebenaran polis, malah pada masa ini polis sudah tidak keluarkan surat mohon derma dan Maik pula menyenaraikan hanya beberapa pihak sahaja dibenarkan untuk tujuan ini,” katanya.
Menurutnya, kebiasaannya mereka ditangkap apabila memberikan pelbagai alasan atau gagal menunjukkan surat kebenaran salinan atau asal, dan didapati minta derma tamat tempoh.
Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan sejak kelmarin dengan beberapa agensi termasuk Maik, Jaheik, MPKB-BRI dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis.
“Ada juga peminta sedekah datang secara sindiket iaitu dihantar oleh kawan atau saudara-mara,” katanya. [SINAR HARIAN 5 DISEMBER 2015]