KOTA BHARU: Kelantan memperkasakan lagi agenda pembangunan Islam dengan mewujudkan Jabatan Pembangunan Islam di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri tersebut mulai 2016.
Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, jabatan berkenaan telah dimulakan di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).
Katanya, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu mahu melihat ada aktiviti berlandaskan agama di PBT.
“Ini kerana kawasan bandar tidak semudah itu untuk dikawal berbanding tempat lain. Jadi sekarang kita perluaskan penghayatan Islam di semua PBT sama seperti di MPKB BRI sekarang.
“Sebelum ini tidak ada Jabatan Pembangunan Islam di PBT selain MPKB BRI. Jabatan itu berperanan menjalankan aktiviti bagi menambah ketaqwaan kalangan warga Bandar,” katanya selepas perasmian seminar Perbandaran Islam, Pencapaian MPKB BRI Berdasarkan Pelan Induk 2006-2015.
Pada seminar itu Yang Dipertua MPKB BRI Zamri Ismail membentang pencapaian majlis berkenaan dan diulas bekas Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Kelantan Muhamad Ibrahim dan Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, Dr Abdullah Sudin.
Menteri Besar juga berkata biar pun belum ada Jabatan Pembangunan Islam di PBT, namun sudah ada aktiviti keagamaan yang dijalankan dilaksanakan di bawah jawatankuasa ahli majlis PBT.
“Dan mulai 2016 ada pegawai dan kakitangan khusus bagi mengurus jabatan berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2015