KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak menghalang peniaga vape membawa isu pengharaman premis rokok elektronik ke mahkamah, kata anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasa lesen premis di bawah Akta 171 Kerajaan Tempatan di bawah Seksyen 107.
“Sehingga sekarang sudah empat negeri menguatkuasakan larangan penjualan vape. Oleh itu golongan muda perlu merancang sesuatu untuk masa depan perniagaan mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
Baru-baru ini Persatuan Vapers Kelantan memberitahu akan mengambil tindakan injunksi memohon mahkamah menangguh pengharaman penjualan vape di Kelantan sehingga satu undang-undang mengenainya digubal di peringkat pusat.
Kerajaan Kelantan sebelum ini menangguh penguatkuasaan menyita premis vape sehingga akhir Januari bagi membolehkan peniaga memindahkan barangan mereka.
Abdul Fattah berkata beliau telah bertemu dengan peniaga vape dan mencari jalan secara baik bagi memberi ruang perniagaan kepada golongan muda termasuk di Bazar Tengku Anis.
“PBT di negeri ini diminta menyediakan premis-premis perniagaan kepada golongan muda bagi menjalankan perniagaan lebih bermanfaat berbanding vape,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan berkata golongan muda perlu merebut peluang perniagaan tersebut.
Menurutnya juga tingkat pertama Bazar Tengku Anis dicadangkan sebagai pusat IT atau telefon bimbit.
“Manakakala bangunan baru di sebelahnya akan menyediakan ‘fast food’ dan sebuah jambatan dibina menghubungkan bangunan Bazar Tengku Anis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/1/2016