KUALA KRAI – Penduduk Kampung Pemberian bakal menarik nafas lega apabila kerja pembinaan jalan alternatif sejauh kira-kira 3.6 kilometer ke Pemberian melalui Slow Mengkuang siap dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Pembinaan jalan alternatif itu sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebagai kemudahan untuk penduduk di kampung berkenaan ke kawasan sekitar, setelah jambatan utama yang menjadi akses penghubung musnah akibat rempuhan kayu termasuk balak, hujung tahun lalu.
Kerajaan negeri prihatin
Penyelia Dun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Husin yang merintis projek berkenaan, memberitahu pembinaan laluan itu membabitkan kos RM1.4 juta.
“Saya bersyukur kerajaan negeri prihatin terhadap nasib kira-kira 2,000 penduduk Pemberian yang berdepan kesukaran apabila sebahagian jambatan runtuh pada 29 Disember lalu.
“Dengan adanya jambatan ini, penduduk setempat dapat keluar ke kawasan sekitar pada bila-bila masa,” katanya sekali gus merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, laluan dibina dari jalan Slow Mengkuang melalui Bukit Kuah.
“Jalan asal 30 peratus jenis konkrit dan selebihnya jalan berbukit melalui kebun penduduk. Kerja menyiapkan jalan ini akan disegerakan untuk kemudahan penduduk. Kita berusaha menyegerakan laluan ini kerana jangka masa untuk baik pulih jambatan akan mengambil masa.
“Jalan alternatif ini terletak di kawasan lebih tinggi dan tidak ditenggelami air seterusnya memudahkan penduduk ke kawasan sekitar,” katanya.
Mudahkan penduduk
Dalam pada itu, Penghulu Tanpa Mukim Wanita Dun Dabong, Hasmah Husin meluahkan rasa gembira kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan untuk pembinaan jalan bagi kemudahan penduduk setempat.
“Syukur sangat dengan kemudahan yang bakal dinikmati ini. Buat masa ini, saya terpaksa meletakkan kereta di Manjor untuk mudahkan saya ke kawasan sekitar dan saya terpaksa berjalan kaki dari rumah sejauh hampir satu kilometer ke tempat letak kereta. Oleh itu, dengan adanya jalan baru ni nanti, tak perlu lah lagi risau walaupun banjir besar sebab jalan ini tinggi,” katanya.
Jelasnya, ketika kejadian banjir pada Disember 2014, beliau berpindah ke kawasan jalan baharu berkenaan setelah kawasan lain ditenggelami air.
Siap 2 minggu jika buat 24 jam
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan membina jambatan kekal bernilai RM40 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka dilaksanakan tahun ini dan siap dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (ATM) Tan Sri Zulkefeli Mohd Zin, yang turun padang membuat tinjauan ke Jambatan Pemberian Ahad lalu memberitahu, anggota tentera akan menyiapkan jambatan sejauh 72 meter yang terputus akibat rempuhan kayu.
Menurutnya, jambatan dengan peruntukan RM300,000 dijangka siap dalam tempoh tiga minggu. Namun katanya, jika kerja pembinaan jambatan tersebut dilakukan selama 24 jam secara berterusan, ia dapat disiapkan dalam masa dua minggu. [SINAR HARIAN 13 JANUARI]