PAS Dun Salor ikrar pertahan kepimpinan ulama

webmaster

KOTA BHARU: Selepas agak lama akar umbi PAS di Dun Salor berdiam diri ekoran kemelut berlaku membabitkan Adun kawasan berkenaan, akhirnya malam tadi mereka berikrar secara terbuka mempertahankan kerajaan PAS Kelantan.

Ikrar mendukung kepimpinan ulama diketuai aktivis PAS Dun berkenaan, Datuk Adnan Mohd Zain dilafaz di hadapan kepimpinan utama PAS Kelantan.

Adnan berkata cawangan-cawangan PAS di Dun Salor kekal istiqamah bagi mempertahankan kepimpinan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Hadir sama pada program sambutan Maulidur Rasul di Kampung Surau itu Timbalan Mursyidul Am Ustaz Datuk Ahmad Yakob, naib-naib presiden, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Abdullah Mat Nawi, bendahari, Datuk Hanifa Ahmad dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Abdul Razak Abas.

Program tersebut diusahakan cawangan-cawangan PAS di Dun berkenaan selepas mereka hilang kepercayaan kepada Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS sebelum ini membuat kritikan terbuka terhadap kerajaan negeri dan kepimpinan PAS.

Malah risalah-risalah mengkritik kerajaan negeri diedar terbuka di program anjuran PAN di Kelantan.

Manakala dalam perkembangan berkaitan lebih 1,500 pendukung PAS peringkat kawasan dari seluruh Kelantan juga bersumpah dan berikrar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab yang diamanah bagi memenangkan perjuangan Islam.

“Ini sekali gus mempertahankan kerajaan Kelantan. Saya juga bersumpah dan berikrar tidak akan melakukan apa-apa perkara melalui apa cara sekali pun yang boleh merosak dan menjatuhkan maruah PAS,” ujar mereka.

Lafaz ikrar dan baiah itu diketuai Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan, Tuan Sharifuddin Tuan Ismail.

Lafaz ikrar itu diadakan sempena program Liqa Penerangan anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media serta Lajnah IT dan Media Baru PAS Kelantan di Putik hari ini.

Hadir sama Ustaz Ahmad, Ustaz Idris, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, pimpinan utama PAS Kelantan dan isteri mantan Menteri Besar Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Pada program itu Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dan Universiti Malaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan membentang kertas kerja.

Sementara itu dalam perkembangan lain Kelantan melahirkan rasa kesal di atas kehadiran pemimpin PKR di majlis anjuran PAN di negeri tersebut.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan tersebut disifatkan bertentangan dengan semangat parti itu sendiri bagi mengekalkan hubungan baik dengan PAS di Kelantan.

“Semangat itu pernah disuarakan Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin semasa mengunjungi Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan baru-baru ini.

“Tindakan tersebut  boleh mencetuskan hubungan politik tidak selesa dan menjejaskan hubungan baik PAS-PKR di Kelantan,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 16/1/2016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Perkembangan Pendidikan tinggi di Kelantan

KELANTAN di bawah pimpinan PAS juga telah menganjak ke hadapan dengan menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965. Pusat pengajian tinggi Islam ini diletakkan dalam sebuah kampus yang pada asalnya ialah Istana Sultan Kelantan yang dinamakan Istana Nilam Puri. Ia terletak 10 kilometer dari Kota Bharu. […]

Subscribe US Now