KOTA BHARU: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak boleh menafikan konflik kepentingan dalam isu penajaan anak syarikat Mara terhadap skuad The Red Warriors (TRW).
Ini kerana penajaan itu berlaku ketika Tan Sri Annuar Musa masih lagi sebagai Pengerusi Mara.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, salah guna seperti yang berlaku dalam tajaan TRW tidak boleh dipandang ringan.
“Saya nampak beliau menyembunyikan perkara sebenar kepada rakyat dalam isu penajaan syarikat Mara. Beliau perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan sebenar.
“Kita berharap agar rakyat khususnya di kawasan Parlimen Ketereh dapat menilai sendiri dan membuat keputusan terbaik dalam pilihan raya akan datang,” katanya di sini.
Baru-baru ini Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendedahkan anak syarikat Mara diguna bagi menaja TRW melalui beberapa dokumen.
Annuar didakwa menggunakan kedudukannya bagi membolehkan Pelaburan Mara Bhd dan Universiti Kuala Lumpur menaja TRW untuk membolehkan beraksi Piala Liga Super musim 2017.
Pada peringkat awal Ketua Penerangan Umno Malaysia itu mendakwa anak syarikat Mara tidak mengeluarkan sesen pun bagi menaja pasukan Kafa.
Dan semalam Pelaburan Mara Bhd dalam kenyataannya memberitahu memperuntukkan RM200,000 bagi menaja TRW dengan membeli pakej iklan.
Malah UniKL juga mengesahkan pembabitan dalam penajaan tersebut. β HARAKAHDAILY 18/1/2017