Agenda tertentu sebalik mahu pinda Perlembagaan?

webmaster

KUALA  LUMPUR: Usul pindaan melibatkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibimbangi terdapat agenda besar yang ingin dicapai oleh pihak-pihak tertentu, demikian disuarakan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat).

Jelas beliau, mereka itu cuba memainkan sentimen, melahirkan kecurigaan, kebimbangan dan rasa tidak puas hati, bahkan juga kebencian dalam kalangan rakyat.

Katanya, perjanjian dibuat para pimpinan terdahulu tentunya telah dibuat dengan penuh semangat perpaduan dan Persekutuan, di mana merungkaikannya perlulah dibuat dengan ketelitian.

“Jangan dibuat hanya kerana janji Manifesto PH dalam pilihan raya lalu, sedangkan hari ini telah terbukti bahawa ia telah dibuat dengan terburu-buru tanpa kajian dan ‘very unrealistic at the very best’. Apatah lagi kiranya pindaan ini ada agenda-agenda lain yang lebih besar.

“Kalau ia dituntut untuk membawa keadilan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, maka saya sangat menyokongnya. Keadilan mesti diberikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Bahkan keadilan sama kita perlu panjangkan kepada rakyat di Persekutuan Tanah Melayu ini.

“Apa dalam perjanjian sedia ada, baik terhadap Sabah dan Sarawak bahkan Persekutuan Tanah Melayu mesti ditunaikan. Kalau Sabah dan Sarawak dapat menikmati hasil royalti, negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu juga perlu ditunaikan bayaran royaltinya.

“Terima kasih kepada YB Menteri yang sangat budiman dan sedang berusaha membayar royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Cuma jangan ada yang menyanggah,” ujarnya membahas usul itu di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Beliau juga mengemukakan, tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo, maka rakyat di Kelantan juga mendambakan lebuh raya pertama di negeri itu dan berharap kerajaan tidak melengahkannya.

Dato’ Che Abdullah turut menasihatkan supaya tiada lagi suara yang mempersoalkan sejarah negara ini dan persetujuan awal pembentukannya, serta pindaan dibuat tidak mengganggu-gugat kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bahasa Melayu.

“Jangan ia menjadi asas atau permulaan keretakan, kerenggangan apatah lagi perpecahan negara kita. Akan tetapi biarlah menjadi permulaan penunaian tanggungjawab Persekutuan kepada negeri-negeri atau wilayah bernaung di bawahnya, dan pindaan apa pun sepatutnya memperkukuhkan negara untuk masa depan,” ujar beliau.

Terdahulu, perbahasan sama oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) turut dicelah oleh Che Abdullah di mana beliau berharap Jawatankuasa Terpilih yang akan membincangkan hal ini turut melibatkan semua wakil-wakil Persekutuan Tanah Melayu. – HARAKAHDAILY 10/4/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/10591-agenda-tertentu-sebalik-mahu-pinda-perlembagaan

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PMBK urus ladang PMBK Sawit

KOTA BHARU: Operasi PMBK Sawit, anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ditutup bagi menggelak berlakunya masalah lebih serius. Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan mengambil langkah itu yang dianggap terbaik memandangkan masalahnya sudah lama berlaku. “Ia berlaku sejak zaman almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz […]

Subscribe US Now