Agong rasmi program Inkubasi Usahawan Pertanian

KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Program Inkubasi Usahawan Pertanian di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Program Inkubasi Usahawan Pertanian dirancang untuk golongan muda di seluruh negara khasnya kepada yang bermastautin di Kelantan dengan menggunakan kecanggihan teknologi dari Taiwan.

Pengerusi Eksekutif Ladang Sawitria (KEL) Sdn Bhd, Tan Sri Musa Tan Sri Hassan berkata, ia dilaksanakan untuk membantu golongan muda memiliki pendapatan yang mampan serta menguntungkan bagi membina masa hadapan mereka.

Menurutnya, pihaknya komited untuk melatih 1,000 usahawan berusia 20 hingga 40 tahun dengan anggaran pendapatan minimum bulanan RM5,000 dan pelbagai kemudahan lain diberikan secara percuma.

“Tapak projek yang sedang kami usahakan ialah di Mukim Mambong, Daerah Batu Mengkebang Kuala Krai, Kelantan di tanah pajakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berkeluasan 914.4 hektar.

“Pada masa ini kami baru membangunkan kawasan tanaman seluas 148 hektar yang melibatkan tanaman seperti cili, pisang, kelapa dan durian,” katanya.

Lebih 500 tetamu kehormat menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Hotel Perdana.

Sebagai permulaan, Musa berkata, program tersebut melibatkan 62 peserta yang mana 47 (Kelantan) dan 15 lagi (Terengganu, Selangor, Perak dan Kedah).

Musa berkata, selain memberi tumpuan kepada pertanian pihaknya juga berusaha untuk mewujudkan kegiatan penternakan dan perikanan.

Beliau berharap program berkenaan dapat dimajukan agar dapat mewujudkan satu pusat kajian pertanian dan bahan makanan di Kelantan sebagai agro hub yang menjadi tumpuan rakyat negeri asing untuk menimba ilmu serta membuat kajian pertanian moden di sini.

Dengan program sebegitu juga, beliau berkata, ia mampu menarik tumpuan golongan muda berasal dari Kelantan untuk kembali ke tempat asal menjadi usahawan pertanian di negeri sendiri.- SINAR HARIAN 24/06/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
76Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment