AHLI MAJLIS PBT NEGERI KELANTAN IKRAR GALAS TAKLIF

webmaster

oleh Norzana Razaly

BERDASARKAN Peruntukan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171, penduduk tempatan yang berwibawa dan berkepimpinan diberi peluang berkuasa eksekutif untuk mengambil bahagian di dalam pengurusan daerah yang mereka diami.

Oleh itu, seramai 318 Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan daripada 12 Majlis Daerah menerima Watikah Pelantikan daripada YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Hj. Abdullah pada 7 Januari 2020 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr. Izani Hj. Husin mengingatkan amanah dan tanggungjawab Ahli Majlis amat berat dan sangat penting selaku pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing dengan mengetahui matlamat dan fungsi PBT, memahami dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang, peka terhadap hal-ehwal kerajaan tempatan, prihatin permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global supaya perkara berat menjadi ringan dan tugasan dilaksanakan mengikut undang-undang” pesannya.

Taklimat dan sesi pencerahan disampaikan oleh Pengarah Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK), Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha.

Para penerima watikah diuar-uarkan mengenai semakin tinggi aktiviti kerajaan, semakin sukar perancangan dan pentadbiran aktiviti itu daripada Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri, maka Kerajaan Tempatan diwujudkan mewakili kehendak rakyat tempatan dalam mentadbir hal-ehwal tempatan bertujuan meninggikan penyertaan rakyat di dalam politik bagi kepentingan komuniti setempat.

Seorang usahawanita pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan yang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Daerah Bachok – Bandar Pelancongan Islam, Rozana Mat Radzi, 41, berkongsi pengalaman tahun kedua beliau berperanan secara aktif di dalam satu unit yang sah mempunyai kuasa untuk mendakwa dan didakwa, membuat kontrak, memiliki harta, mengutip cukai dan sewa, menikmati autonomi kewangan serta membuat undang-undang kecil (by-laws).

“PBT diwujudkan bagi mendapatkan keberkesanan, pentadbiran awam moden tidak sahaja terletak pada dasar dan cara di bahagian negeri semata-mata malah bagaimana dilaksanakan hingga ke peringkat daerah dan kampung” ujarnya.

Penolong Pengarah Kanan (Penerangan) di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Ahli Majlis Daerah Machang, Razuan Awang Hamad, 39, pula menyatakan, masyarakat perlu faham, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang amat penting demi mewujudkan persekitaran harmoni dan lestari.

“Tugas dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang tidak hanya kepada masalah sampah dan gerai-gerai haram sahaja. Ia meliputi penguatkuasaan pelan pembangunan, isu alam sekitar dan hubungan sosial dalam kalangan penduduk. Sebab itulah semua pihak wajar saling berganding bahu untuk meningkatkan tugas dan tanggungjawab bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik” serunya.

Tahniah dan syabas kepada aktivis politik dan profesional yang berkolaboratif melafazkan ikrar ahli PBT Negeri Kelantan 2020 dipimpin oleh Peguam merangkap Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, Nik Baharum Nik Abdullah di hadapan seluruh exco dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan serta disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), YM Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal (Tengku Kaya Perkasa ).

Semoga iltizam mereka untuk menggalas taklif secara komited, berdedikasi dan efektif dalam memacu transformasi dan kemajuan PBT yang diwakili selari dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam yang membawa Kelantan Melangkah Ke Hadapan dan Menerajui Perubahan demi meraih Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan beroleh barakah dengan kefahaman komprehensif mafhum surah At-Taubah ayat 105:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.- UPKN KELANTAN 7/1/2020

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

MISI MENYELAMAT AKIDAH UMMAH (SIRI PERTAMA)

CHIANG Mai merupakan satu lokasi yang didiami oleh orang Islam di negara Thailand. Berjalan-jalan di bandarnya kita akan melihat lelaki berkopiah dan wanita berhijab yang menunjukkan kewujudan mereka di sana sini. Restoran halal boleh dicari dengan lambang bulan dan bintang yang menjadi simbol rasmi agama suci di hadapan premis mereka. […]

Subscribe US Now