Kota Bharu- 13 daripada 18 jabatan serta agensi Kerajaan Negeri telah diberi penarafan 5 Bintang bagi kategori Akauntabiliti Kewangan bagi tahun 2015 oleh Ketua Audit Negara.
13 jabatan serta agensi terbabit ialah Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pembangunan Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Air Negeri Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Majlis Daerah Pasir Putih, Majlis Daerah Machang, Majlis Daerah Kuala Krai, Majlis Daerah Tanah Merah, Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang, Pejabat Tanah Jajahan Bachok, Pejabat Tanah Jajahan Pasir Putih dan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.
Perkara itu dimaklumkan YB Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mohd Faudzi Che Mamat ketika berucap meraikan anak-anak Kelantan di perantauan di Kompleks Kota Darulnaim.
Selain mendapat penarafan 5 Bintang, iaitu penarafan tertinggi, Kerajaan Negeri juga turut menerima Sijil Audit Bersih Penyata Kewangan Kerajaan Negeri seperti tahun-tahun sebelumnya.
Tambah membanggakan, pengurusan Kerajaan Negeri turut diiktiraf dan diberi penarafan 5 Bintang bagi Indeks SSR Agensi Sektor Awam Tahun 2015/ 2016 oleh Ketua Setiausaha Negara dan penarafan 5 Bintang dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS Tahun 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
“Pejabat SUK Kelantan berada pada kedudukan ke-4 antara 11 pejabat SUK seluruh Malaysia dan yang pertama antara empat pejabat SUK yang bukan diisi oleh pegawai gunasama Persekutuan,” jelas Dato’ Mohd Faudzi.
Pejabat SUK Kelantan turut merangkul Anugerah Pengurusan Cemerlang oleh Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan 5 lagi pejabat SUK negeri yang lain.