AKSB Tingkatkan Kualiti Pengurusan Air

KOTA BHARU – Bagi meningkatkan kualiti, kuantiti dan juga tekanan air, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) telah melancarkan projek penukaran paip lama/uzur di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, YB Dato’ Sr. Haji Azami Mohd Nor berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Penukaran Paip Lama/Uzur Di Bawah Pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di Kampung Telaga Nibong, Tanjung Chat dekat sini pagi ini.

Katanya, dengan terlaksananya projek ini, sekaligus ia dapat menyelesaikan serta mampu mengurangkan aduan mengenai permasalahan bekalan air yang sering kali dihadapi oleh para pengguna di seluruh Negeri Kelantan.

Berikut merupakan objektif bagi cadangan penggantian paip lama dan uzur;

  1. Mengurangkan gangguan bekalan air bersih di kesemua jajahan di Negeri Kelantan.
  2. Memastikan bekalan air yang mencukupi dan berterusan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
  3. Memperluaskan kawasan liputan perkhidmatan air bersih.
  4. Mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Tambahnya, disebabkan keseluruhan paip yang akan ditukar terlalu panjang dan memakan kos yang tinggi, pihak AKSB telah membuat pecahan cadangan pelaksanaan secara berperingkat selama 5 tahun bermula tahun 2018 hingga 2022.

“Anggaran panjang penukaran paip untuk tempoh 5 tahun adalah 3,000 kilometer untuk seluruh Negeri Kelantan dengan anggaran kos sebanyak RM 973,307,700.33.

Selebihnya panjang paip AC yang lama dan uzur akan ditukar dalam perancangan program penukaran tahun 2023 ke atas,” katanya.

Turut berucap Pengarah Eksekutif Air Kelantan Sdn. Bhd., Haji Abdul Rashid Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Aset Air Berhad, Abdul Hadi Ali.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, YB Ustaz Haji Abdul Rahman Yunus serta pegawai tinggi dan kakitangan AKSB. – UPKN KELANTAN 21/4/2019

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment