Akta 355: Ramai silap sebut pinda Perlembagaan

Alhamdulillah, petang Khamis lepas Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan usul untuk meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 1984 di Parlimen. Usul itu bertujuan untuk menambah bidang kuasa dan mengangkat martabat Mahkamah Syariah di Malaysia.

IMG_7381Setakat ini bidang kuasa jenayah Mahkamah Sariah paling tinggi di Malaysia hanya boleh menghukum setakat maksimum 3 tahun penjara, denda maksimum RM5,000 dan sebatan tidak lebih 6 kali atau kombinasi antaranya. Ianya lebih rendah dari mahkamah majistret.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat terhadap akta tersebut, ianya akan terpakai kepada kesemua mahkamah syariah negeri-negeri di Malaysia. Ia bukan bermaksud Mahkamah Syariah Kelantan sahaja. Dengan itu mahkamah syariah boleh menghukum semua jenis hukuman melainkan hukuman mati sahaja dengan syarat kesalahan-kesalahan itu diperuntukkan di dalam enakmen masing-masing seperti yang ada di dalam Enakmen Jenayah Syarian Kelantan.

Usul yang dibawa adalah langkah pertama bagi membolehkan kita melaksanakan undang-undang jenayah syariah (qisas, hudud dan takzir). Hakikatnya kesalahan-kesalahan jenayah syariah sudahpun ada dalam undang-undang Malaysia sama ada di dalam Kanun Keseksaan atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri tetapi hukumannya tidak selari dengan hukuman sebenar yang disediakan oleh syariah kecuali kesalahan yang membawa hukuman takzir.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat kepada Akta 355 seperti yang dihasratkan, hukuman bagi sebahagian kesalahan di bawah jenayah hudud seperti minum arak (40 hingga 80 kali sebatan), qazaf (80 kali sebatan), berzina bagi ghair muhsan (belum kahwin, 100 kali sebatan) dan murtad yang membawa hukuman selain dari hukuman mati sudah boleh berjalan. Kesalahan-kesalahan ini sudahpun ada dalam undang-undang negeri tetapi hukumannya sahaja yang tidak selari dengan syariah.

Berzina muhsan (yang sudah berkahwin) hukumannya rejam sampai mati tidak boleh dilaksanakan kerana masih di luar bidang kuasa. Begitu juga bagi jenayah mencuri dan merompak serta kesalahan di bawah jenayah qisas iaitu membunuh dan mencederakan kerana ianya termasuk dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Jenayah-jenayah ini sudah terkandung di dalam Kanun Keseksaan (Penal Code).

Bila berlaku pertentangan di antara undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dun dan undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen maka Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimenlah dikira sah. Dalam kes ini Kanun Keseksaan akan terpakai.

Di sinilah sekali lagi perlu kepada usul untuk mengguna pakai Per. 76A1 Perlembagaan sekiranya kesemua kesalahan-kesalahan di bawah qisas dan hudud hendak dilaksanakan.

Perlu juga diingat, usul tersebut bukan bermaksud meminda Perlembagaan Perkara 76A(1) tetapi mengguna pakai. Ramai yang silap menyebut meminda Perlembagaan. Pindaan Perlembagaan memerlukan kepada 2/3 majoriti. Perkara 76A1 memberi kuasa kepada Parlimen untuk membenarkan mana-mana negeri membuat undang-undang untuk dilaksanakan dalam negeri tersebut walaupun ianya adalah di bawah bidang kuasa Parlimen. Untuk meluluskan usul pindaan Akta 355 dan usul di bawah Perkara 76A1 hanya memerlukan majoriti mudah sahaja (simple majority).

Cara lain adalah dengan meminda Kanun Keseksaan itu sendiri supaya bersesuaian dengan syariah. Sebenarnya sudahpun ada cadangan sebegitu di kalangan pengamal undang-undang. Cumanya memerlukan penelitian dan persiapan.

Kita masih belum pasti apakah nasib dan kesudahan kepada usul yang dibawa oleh YB Datuk Seri TGHH. Ianya akan diputuskan dalam sidang parlimen yang akan datang. Kita mendoakan yang terbaik. Jalannya masih panjang dan berliku tetapi kita telah berjaya membuka langkah pertama dan ianya satu kejayaan yang amat besar dalam sejarah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia selepas zaman penjajahan dan kemerdekaan. Ianya sangat dinanti-nanti dan diraikan oleh pengamal undang-undang, ahli akademik dan para pelajar syariah. – HARAKAHDAILY 29/5/2016

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment