Al-Quran terapi pesakit

KOTA BHARU – Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) menjadikan al-Quran sebagai terapi semasa merawat pesakit, malah hospital mesra ibadah berkenaan yang menyokong Malaysia #QuranHour mengalu-alukan penyertaan orang ramai.

Pengarahnya, Dr Selasawati Ghazali berkata, selain perubatan moden, HRPZ II juga turut menyuburkan aspek pengisian kerohanian menerusi baca, faham dan amal al-Quran.

“Dengan penghayatan #QuranHour ini, ia dilihat mampu mencetuskan satu usaha mengajak umat Islam di negeri ini berdamping dengan al-Quran, sesuai dengan apa yang dialami pesakit.

“Kita mengharapkan pesakit sentiasa mengingati sang pencipta bukan ketika mereka sakit sahaja, tetapi peringatan untuk menghayati al-Quran perlu dilakukan setiap masa dalam mencari keberkatan terutama dari segi kesihatan.

“Ayat-ayat syifaat yang terkandung dalam al-Quran sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan dan menghilangkan tekanan kepada pesakit ini,” katanya.

Dr Selasawati berkata, pihaknya akan membuat hebahan dan berharap semua hospital di negeri ini termasuk di daerah turut menyertai program Malaysia #QuranHour pada 19 Jun ini dengan mengadakan program al-Quran selama sejam.

“Pihak hospital mengguna pakai al-Quran kerana ayat syifat boleh menenangkan jiwa orang yang membaca dan mendengarnya.

“Pada hari tersebut (19 Jun ini), pegawai agama hospital akan memaklumkan kepada semua wad, klinik termasuk unit hemodialisis dan pejabat supaya dalam tempoh sejam berkenaan semua mereka terlibat dengan al-Quran bagi menjayakan program,” katanya.- SINAR HARIAN 14 JUN 2017

(Visited 6 times, 1 visits today)

Add Comment