Antara surau hotel dan Masjidil Haram

surauhotelLAMBAIAN Kaabah kembali menemui pembaca selepas menyepi seketika sebelum ini. Bukan merajut atau menarik diri, sebaliknya isu politik yang semakin sendat menyelimuti kerajaan PAS Kelantan.

Sekatan laluan lori balak di pedalaman Gua Musang mempopularkan masyarakat Orang Asal. NGO Restorasi pula muncul mengertak kerajaan negeri menukar pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Tidak kurang juga sekumpulan penduduk menolak projek Kampung Warisan kerana maklumat separuh masak dikumpul di tepi jalan.

Seorang Adun pula mengutip semula segala benda hodoh berkaitan kerajaan negeri ketika menduduki kerusi Exco. Rencah dan isu tersebut membuat penulis terpaksa meredah hutan, kampung dan desa mencari sinar di sebaliknya peristiwa tersebut.Sepanjang 48 hari berada di Makkah dan Madinah banyak kisah suka dan duka boleh dikongsi bersama pembaca.

Tidak kurang manisnya apabila terpaksa berjalan jauh ke Masjidil Haram setiap hari. Bukan hendak mengungkit, namun inilah realitinya.

Namun menghayun kaki di celah-celah lautan manusia membuatkan kita seperti tidak sedar sudah menjejaki dataran Masjidil Haram.

Manusia seperti arus berada di sekeliling kita. Arus manusia kadang-kadang membuatkan kita tertolak ke tepi dan ke tengah tanpa sengaja.

Ada ketikanya belum pun kaki melangkah, badan sudah terangkat ke hadapan. Inilah yang dinamakan Makkah di musim haji dengan lautan manusia kira-kira 4 juta orang.

“Kalau orang tidak ramai seperti ini tidak pula dinamakan Makkah,” ujar seorang usahawan tani, berasal dari Kadok, Kelantan.

Abdul Rahman antara jemaah haji Malaysia yang tidak kenal penat dan lelah berulang alik ke Masjidil Haram. Biar pun jarak 1 kilometer dari hotel di al-Misfalah ke masjid melalui Jalan Ibrahim Khalil, namun ia sudah menjadi perkara biasa.

Empat kali sehari berulang alik ke masjid sebenarnya tidak ramai jemaah haji Malaysia yang sanggup. Ini bermakna 8 kilometer sehari perlu jemaah haji lalui.

Di Hotel Land Premium ada sebuah surau yang boleh menampung sehingga lebih 1,000 jemaah. Lengkap dengan penghawa dingin terletak di tingkat M, hotel 13 tingkat tersebut.

Ketika menjelang musim haji, surau tersebut sentiasa penuh dengan jemaah. Orang ramai juga terpaksa bersesak-sesak seperti di Masjidil Haram.

Namun berbezanya jemaah haji tidak perlu berjalan jauh. Hanya menggunakan lif boleh sampai ke surau. Cuma terpaksa menunggu agak lama di pintu lif untuk mendapat ruang turun ke surau.

Surau yang agak selesa itu bukan sahaja dipenuhi warga emas, sebaliknya ramai juga kelihatan jemaah haji yang muda. Mereka masih gagah perkasa.

Di Hotel Hilton berhampiran Masjidil Haram, juga ada dewan solat memuatkan ribuan jemaah.

“Saya hairan mengapa orang muda juga memilih untuk solat berjemaah di surau hotel. Sepatutnya mereka solat di Masjid Haram untuk mendapat ganjaran 100,000 pahala.

“Mungkinkah jemaah haji kita tidak sanggup berkorban dengan berjalan 1 kilometer. Lebih-lebih lagi berbumbung pancaran terik matahari untuk sampai ke Masjidil Haram,” ujar Abdul Rahman yang kini meniti usia 65 tahun.

Beliau menghayun langkah selama 25 minit untuk sampai ke masjid.

Berbeza berbanding jemaah haji dari negara lain, biar pun kedudukan hotel mereka lebih jauh namun tidak pernah serik berjalan kaki.

Lebih teruja lagi warga emas jemaah haji dari China, India, Pakistan dan Afrika, mereka mudah ditemui di jalanan.

Wanita Afrika pula menjunjung botol air zamzam di kepala, berjalan di celah-celah lautan manusia.

Mereka seperti tidak menghirau penat dan letih kerana mahu merebut ganjaran 100,000 pahala.

Lagipun belanja untuk datang ke Makkah bukan sedikit. Pengorbanan itu hanya mampu dipikul jemaah yang tidak menghitung erti penat dan lelah. – HARAKAHDAILY 28/11/2016

(Visited 21 times, 4 visits today)

Add Comment