oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menyanjung tinggi nilai kesusasteraan Melayu kerana menyakini sastera sebahagian daripada tunjang kegemilangan tamadun bangsa.
Penganjuran Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2019 bukti komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) untuk mengiktiraf karya penulis-penulis kelahiran atau bermastautin di negeri Kelantan melebihi tujuh tahun.
Proses pemilihan calon penerima Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2019 dan penerima hadiah karya eceran bermula sebaik sahaja tarikh tutup pencalonan dan penyertaan pada 15 November 2019 lalu.
Meneruskan agenda, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, YB Mejar (B) Dato’ Haji Md. Anizam Ab. Rahman berbesar hati menerima kunjungan hormat Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Mohd Azam Juhari di pejabatnya, pagi tadi.
Mesyuarat mengenai Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019 memutuskan tarikh penganjuran majlis penyampaian anugerah tersebut mengikut kesediaan pihak Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Hj Ahmad Yakob.
“Keputusan dicapai untuk menyerahkan ketetapan tarikhnya kepada pihak YAB MB. Kemungkinan majlis tersebut berlangsung pada Ogos bersempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia atau pun pada Oktober bersempena 30 Tahun Kelantan Membangun Bersama Islam”, ujar Dato’ Md Anizam.
Redakan debaran teka-teki dengan imbasan rekod lima tahun lepas, sasterawan merangkap mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Fatimah Busu diumumkan penerima Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015 dalam majlis yang berlangsung di Hotel Perdana, pada 25 November 2015.
Fatimah menerima hadiah wang tunai, kain songket serta watikah anugerah disampaikan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob.