KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan kebimbangan terhadap kadar penceraian yang semakin tinggi pada awal usia perkahwinan kurang dari lima tahun, khususnya membabitkan pasangan Melayu Islam.
Katanya, soal penceraian ini akan menimbulkan masalah terutama anak-anak yang akan terabai apabila tuntutan nafkah tidak dilaksanakan walaupun mendapat perintah mahkamah.
“Pada awal usia kurang dari lima tahun majoriti daripada pasangan Melayu Islam sudah bercerai. Masalah timbul apabila si suami mengabaikan nafkah anak-anak sedangkan ia adalah arahan mahkamah.
“Sejauh manakah penyelarasan yang telah dibuat oleh pihak kementerian dengan agensi yang berkaitan terutama si suami yang tidak menghiraukan perintah mahkamah. Dan apa tindakan yang dijalankan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka supaya anak-anak tidak menjadi mangsa,” soal beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, soalan asal beliau meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik terkini kadar penceraian di Malaysia untuk tahun 2014, 2015 dan 2016 mengikut negeri dan bangsa serta cadangan mengatasinya.
Sementara itu, di dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun menjelaskan seramai 171,252 pasangan beragama Islam bercerai dari 2014 hingga 10 Julai lalu dengan Selangor, Sabah dan Johor mencatatkan kadar perceraian tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.
“Kajian mendapati kebanyakan tempoh perkahwinan pertama yang berakhir dengan perceraian adalah dalam lima tahun ke bawah.
“Punca utama perceraian pula ialah tiada persefahaman, suami dan isteri curang, campur tangan mentua atau ipar duai serta suami tidak bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2016