KUALA LUMPUR: Masyarakat hari ini kurang keyakinan terhadap kawalan keselamatan di sempadan negara ekoran pelbagai kegiatan penyeludupan yang sering berlaku, demikian menurut Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata, apabila isu persempadanan timbul ia berkait rapat dengan penyeludupan senjata api, dadah dan kemasukan pendatang asing.
“Terkini, di tempat saya dijumpai empat mayat warga asing bergelimpangan. Kawalan jenayah di sempadan semakin berleluasa. Kalau sebelum ini kita banyak melaksanakan operasi seperti Ops Laras, Senjata Api,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.Beliau turut meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang dibuat bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat ke atas kawalan keselamatan di sempadan negara.
“Apakah ada operasi baru yang dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah ini,” soal beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan telah melanjutkan Ops Cantas kali ke-2 oleh Unit Ibu Pejabat Polis yang akan menumpukan di kawasan-kawasan yang ditetapkan.
“Antara langkah lain mempertingkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa kerajaan antara Malaysia dengan Thailand,” katanya.
Di dalam soalan asal, Ahmad Marzuk minta Menteri Dalam Negeri menyatakan dalam usaha mengetatkan kawalan sempadan utara tanah air, adakah sudah ada cadangan atau perancangan pembinaan pagar sepanjang sempadan antara negara Malaysia dan Thailand. – HARAKAHDAILY 1/11/2016