Atasi pencemaran plastik, galakkan sisa sifar

SEMPENA sambutan 50 tahun Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang disambut pada bulan ini, pertubuhan alam sekitar menggesa negara-negara ASEAN bertindak terhadap pencemaran plastik di rantau ini.

Menurut Penyelaras Global Pergerakan Break Free From Plastic (BFFP) Von Hernandez, negara anggota ASEAN boleh menghentikan pencemaran plastik dan melindungi lautan dengan menggubal dasar.

Iaitu, katanya dengan mengurangkan penggunaan plastik guna buang, melindungi sempadan rantau ini daripada menjadi tempat longgokan sisa dan teknologi pengurusan sisa yang mencemarkan dari negara lain, dan melaksanakan penyelesaian mesra alam berkesan  terhadap krisis sisa.

Kumpulan ini menggesa pertubuhan serantau ini supaya melabur dalam penyelesaian Sisa Sifar dengan mengurangkan permintaan, penggunaan produk dan pembungkusan guna buang.

Penyelaras Rantau Asia Pasifik Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA) Froilan Grate, pula berkata, Sisa Sifar adalah penyelesaian lestari dan berdaya maju dari segi ekonomi terhadap masalah sisa di rantau  ini.

“Tetapi untuk ia berfungsi pada skala yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah, kita memerlukan kerajaan kita menggalakkannya serta menginstitusikannya. Seperti yang ditunjukkan oleh banyak komuniti di negara Asia seperti Indonesia, Filipina, China, Korea Selatan dan India,” katanya.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M Mohamed Idris, sebagai ahli GAIA dan BFFP, dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan supaya menghentikan pencemaran plastik dan bergerak ke arah Sisa Sifar.

Sisa Sifar merupakan pengurusan sumber ekologi dan model pengurangan yang melibatkan pemisahan sisa pada sumber, mereka-bentuk semula produk, pengurusan dan pengumpulan sisa secara sistematik.

Idris berkata, banyak negara Asia, Sisa Sifar lebih cenderung ke arah pengurusan sisa organik disebabkan bahan organik terdiri lebih daripada 50% daripada sisa yang dijana.

Tambahnya, pemisahan sisa membolehkan isi rumah dan komuniti menguasai dan mengurus pelbagai jenis sisa berbeza secara teratur sama ada bahan yang boleh dikitar semula akan dikitar semula dan bahan organik akan diuruskan melalui kompos, penguraian biologi, dan pengurusan organik kaedah lain.

“Apa yang tinggal hanya sedikit sisa yang lebih mudah untuk ditangani. Penyelesaian kepada yang sedikit ini ialah mereka bentuk semula dengan lebih baik untuk memastikan bahawa bahan yang tidak dapat dikitar semula atau dikompos akan dikurangkan dengan sistematik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook0Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment