Baca serentak selama 10 minit

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengajak seluruh rakyat di negeri ini memberi sokongan kepada program ‘Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit’ yang julung kali diadakan hari ini di seluruh Malaysia.

Ahmad berkata, program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia merupakan antara langkah terbaik untuk membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat (bermula jam 10 pagi).

“Saya harap rakyat di negeri ini dapat meluangkan masa berhenti seketika pada waktu tersebut dan mengambil bahagian dengan membaca apa juga jenis bahan bacaan.

“Tujuan program ini dilaksanakan adalah sebagai langkah pertama ke arah menjenamakan inisiatif membaca dengan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan selepas waktu persekolahan,” katanya, semalam.

Tambahnya, Islam adalah agama yang sangat mengutamakan umatnya membaca dan menggali pelbagai jenis ilmu.

“Suruhan wahyu ini jelas dinyatakan dalam surah Al-Alaq dengan memulakan arahan agar membaca iaitu Iqra’. Sejajar dengan tuntutan ini, maka program yang diberi nama ‘Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit’ ini adalah langkah terbaik.

“Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memupuk minat membaca rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Adalah menjadi satu harapan agar program ini dapat diteruskan setiap tahun,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment