KOTA BHARU: Banjir yang melanda beberapa tempat di Kelantan tahun ini tidak seteruk seperti yang pernah berlaku pada 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, kesan banjir mungkin agak besar berlaku di Pasir Puteh dan Bachok kerana sebelum ini jarang berlaku banjir di jajahan tersebut.
Katanya ia berbeza berbanding dengan penduduk yang sudah biasa dengan banjir setiap tahun antaranya Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
“Banjir yang berlaku Januari lepas agak terjejas di Pasir Puteh dan Bachok,” katanya selepas perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri di Balai Islam semalam.
Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Mumtaz juga berharap penduduk yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir bersiap sedia lebih awal.
Katanya banjir boleh melanda di mana sahaja sekiranya hujan lebat berterusan.
“Thailand misalnya berlaku banjir yang agak buruk di wilayah selatan negara itu awal tahun ini. Sedangkan sebelum ini mereka datang membantu kita,” ujarnya.
Kata beliau juga kerugian dialami akibat banjir belum dapat ditafsirkan lagi memandangkan banjir baru pulih. – HARAKAHDAILY 3/2/2017