Banjir: HUSM tambah lebih 200 katil

KOTA BHARU – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menambah lebih 200 katil sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini.

Pengarah Kampus Kesihatannya Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata ia bagi menampung pesakit dari beberapa hospital di Kelantan yang berkemungkinan dinaiki air.

“Tahun lepas kita menerima lebih daripada 200 pesakit dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai. Tahun ini kita bersedia untuk menampung jumlah yang sama.

“HUSM mampu menampung sejumlah 8,000 pesakit pada satu-satu masa,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Kerusi Roda Sime Darby Property Berhad kepada HUSM di sini, hari ini.

Hadir sama Anggota Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Mahaleel Tengku Arif dan Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Kelestarian Sime Darby Property Bhd Nor Azahar Hussain.

Mafauzy berkata, HUSM turut menyediakan lokasi pendaratan pengangkutan udara yang mampu memuatkan lima buah helikopter pada satu-satu masa.

“Kita juga telah menyimpan stok ubat-ubatan untuk tempoh sebulan selain persiapan set penjana kuasa dan pam air yang mampu digunakan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 14 kerusi roda diserahkan oleh Sime Darby Property Bhd kepada HUSM yang akan digunakan untuk kemudahan pesakit di hospital itu. – Bernama

(Visited 16 times, 3 visits today)

Add Comment