Banjir: Jangan sebar berita palsu

KUALA KRAI – Polis memberi amaran kepada pengguna laman sosial supaya tidak menyebarkan berita palsu berhubung banjir selepas hujan beberapa hari kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, pengguna yang menyebarkan laporan palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita akan buat laporan dan ambil tindakan undang- undang terhadap pengguna laman sosial yang menyebarkan berita dan gambar palsu.

“Maklumat atau hebahan banjir mestilah dibuat pihak berkuasa seperti polis, jabatan meteorologi dan jabatan berkaitan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, bagi menghadapi kemungkinan banjir, persediaan perlu dibuat anggota masyarakat mulai sekarang.

Menurutnya, keperluan asas perlu disediakan lebih awal serta mengingatkan orang ramai agar tidak mengharapkan bantuan semata-mata.

“Kenal pasti lokasi selamat dan pusat pemindahan banjir yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Pada tahun ini kita sediakan pengkalan hadapan iaitu tempat untuk menyimpan bantuan makanan dan peralatan di 49 lokasi” katanya.

Abdullah berkata, dari segi logistik, bot dan pasukan penyelamat akan kita tempatkan di semua balai polis di daerah Kuala Krai.

Menurutnya, pasukan penyelamat daerah ini terdiri daripada polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tentera, Bomba Penyelamat dan Rela seramai 261 orang akan bekerjasama dalam operasi menyelamat.

“Dari segi logistik kita mampu menyediakan kelengkapan yang cukup jika bencana banjir yang berlaku di tahap satu.

“Kelengkapan menyelamat bagi menghadapi banjir daerah Kuala Krai dengan kemudahan 16 bot, tujuh lori dan tujuh pacuan empat roda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap penghulu memainkan peranan mengambil berat anak mukim masing-masing.

“Penghulu juga perlu menyimpan rekod nama serta dapat mengenal pasti anak mukim yang pandai memasak serta mempunyai kemahiran lain untuk membantu pihak berkuasa semasa khidmat sukarela diperlukan di pusat pemindahan nanti,” katanya.

Menurutnya, daerah Kuala Krai mempunyai 105 pusat pemindahan untuk memindahkan mangsa banjir.

Sumber: Sinar Harian/6 November 2015

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment