Banjir: JPN Kelantan tubuh jawatankuasa khas

KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani banjir jika bencana itu berlaku ketika sesi persekolahan berlangsung, kata Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah.

Katanya jawatankuasa itu ditubuhkan di peringkat negeri, daerah dan sekolah untuk memantau persediaan menghadapi banjir jika berlaku ketika sesi persekolahan.

“Selain 336 sekolah yang diwartakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir, kita mengarahkan sekolah menyediakan kemudahan tempat tinggal dalam kawasan sekolah kepada murid ataupun pelajar yang terlibat banjir.

“Selain itu, pengurusan sekolah diarahkan menyelamatkan barangan dan dokumen penting sebelum banjir melanda teruk,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Ab Aziz mengulas mengenai kemungkinan berlaku banjir pada sesi persekolahan minggu depan.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata, JPN Kelantan mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan bagi membantu murid yang terjejas banjir untuk hadir ke sekolah.

“Kerjasama itu dilakukan bagi memastikan murid dapat mengikuti sesi pembelajaran di sekolah ketika banjir. Kita tidak mahu mereka terkandas dalam pelajaran akibat banjir. JPN Kelantan akan mengikuti arahan pihak keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz mengarahkan semua sekolah di negeri itu untuk menerima mangsa banjir walaupun tidak diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir.

Katanya, tindakan itu sebagai satu inisiatif membantu penduduk yang menjadi mangsa banjir dan tidak akan mengganggu sesi pembelajaran di sekolah. – Bernama

(Visited 50 times, 5 visits today)

Add Comment