Banjir kedua: Patuhi arahan pihak berkuasa

KOTA BHARU: Berikutan banjir melanda Kelantan kali kedua yang begitu luar biasa, orang ramai diingat mengikut arahan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, tidak ada siapapun menduga banjir kali kedua melanda negeri itu dengan begitu cepat berikutan hujan yang turut tiada hentinya sejak dua hari lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihati mangsa banjir supaya bekerjasama dan bertolak ansur khususnya bila berada di pusat pemindahan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan banjir terkini yang melanda negeri itu sejak semalam.

Ekoran itu, beliau meminta ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak mereka agar tidak bermain air.

“Apa yang penting marilah kita berdoa sentiasa di samping menjaga solat agar banjir ini berakhir.

“Simpan dokumen penting di tempat paling selamat dan jangan lupa kunci rumah,” ujarnya.

Sementara itu seramai 6,225 orang mangsa banjir telah dipindahkan di pusat-pusat pemindahan di negeri itu sejak semalam.

Mengikut laporan eBanjir Negeri Kelantan yang dikemas kini sehingga tengahari tadi, sebanyak 49 pusat pemindahan telah dibuka.

Jajahan Kota Bharu mencatat jumlah paling tinggi mangsa banjir yang dipindahkan di 18 buah pusat pemindahan seramai 2,303 orang.

Jajahan Pasir Mas menduduki tempat kedua paling ramai mangsa banjir yang dipindahkan, iaitu di 15 buah pusat pemindahan seramai 1,098 orang mangsa.

Jajahan Pasir Putih pula seramai 1,551 orang mangsa banjir dipindahkan di sembilan tempat pusat pemindahan.

Sementara itu, Harakah difahamkan ada sebahagian mangsa banjir yang tidak pernah ditenggelami air sebelum ini menggunakan tangki air sebagai alat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga. – HARAKAHDAILY 21/1/2017

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment