KOTA BHARU: Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan tidak menolak kemungkinan beliau tidak mendapat data mengenai rumah kekal mangsa banjir yang siap dibina selepas Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir dibubar.
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jawatankuasa itu sudah dibubar atas persetujuan bersama kerajaan negeri.
“Bagaimanapun saya berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan bagi mendapat mileage politik.
“Kalau ada masalah kita boleh bincang bersama. Lagi pun sebelum ini saya sudah acap kali berkunjung ke pejabat Menteri Besar membincangkan secara kondusif,” katanya ketika mengambil bahagian membahas titah ucapan diraja pada persidangan Dun petang ini.
Pagi tadi, kerajaan negeri memberitahu kerajaan pusat hanya menyiapkan pembinaan 256 rumah kekal mangsa banjir selepas lebih setahun bah besar berlalu.
Sedangkan dalam tempoh sama rumah kekal disiapkan kerajaan negeri berjumlah 497, hanya kekurangan 138 buah berbanding ditetapkan sebanyak 635 unit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata rumah yang sepatut dibina kerajaan pusat sebanyak 1,036 unit.
Kerajaan pusat sebelum ini menubuh Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Kelantan yang dipengerusi bersama Menteri Besar dan Mustapa.
Bagaimanapun jawatankuasa itu difahamkan dibubar tahun lepas.
Jumlah keseluruhan rumah yang rosak sepenuhnya akibat banjir besar akhir 2014 sebanyak 1,671 buah setelah berlaku penapisan beberapa kali. – HARAKAHDAILY 8/3/2016