MACHANG – Saban hari, mata penduduk di sini pasti tidak akan terlepas kelibat seorang warga emas mengayuh basikal tuanya di laluan utama Pangkal Gong-Kemubu, di sini.
Kelibat Ismail Mamat, 90, yang sentiasa bertemankan basikal tuanya mungkin satu pandangan asing bagi pengguna jalan raya, namun tidak bagi penduduk sekitar Kampung Bandar, di sini.
Malah penduduk mungkin akan berasa pelik seandainya Ismail atau lebih mesra disapa Pok Nik bersama basikal tuanya tidak kelihatan dan pasti akan ada yang bimbang andainya warga emas itu tidak sihat atau ditimpa kesusahan.
Ismail yang menetap di Kampung Surau, Kerawang, dekat sini, masih gagah untuk berulang-alik sejauh enam Kilometer (KM) setiap hari untuk ke kebun walaupun diakui badannya tidak sekuat dulu.
Ismail berkata, walaupun dalam keadaan tangan terketar-ketar serta penyakit asma dihidapinya, dia tetap akan meneruskan rutin harian yang telah diamalkan sejak lebih 50 tahun selagi badannya sihat dan masih mampu mengayuh basikalnya.
“Basikal menjadi teman setia saya sejak usia muda sehingga sekarang. Pok Nik masih berulang-alik ke kebun buah-buahan di Kemubu menaiki basikal, walaupun sekadar untuk tengok keadaan kebun.
“Bosan duduk di rumah tanpa buat apa-apa. Pok Nik dah lama berulang-alik ke kebun…dah jadi rutin. Kalau tak pergi…rasa tak senang duduk, walaupun tak usahakan apa-apa,” katanya.
Ismail memberitahu, kadangkala untuk sampai ke kebunnya, dia terpaksa berhenti sehingga dua kali kerana kepenatan selain keadaan lalu lintas lebih menakutkan pada masa kini berbanding pada usia mudanya.
Katanya, dia lebih berhati-hati dan menunggang basikalnya dengan lebih perlahan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Dalam masa hampir 70 tahun, Pok Nik baru tukar tiga basikal dan tetap memilih basikal model lama walaupun terdapat pelbagai jenis basikal pada hari ini,” katanya.
Dia yang kini tinggal bersama isterinya turut mengakui rutin hariannya itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama yang mengenalinya, namun dia tidak akan berasa tenang jika tidak ke kebun.
“Mereka bimbangkan keselamatan Pok Nik. Ramai yang pesan supaya Pok Nik tak payah tunggang basikal lagi. Tapi apa Pok Nik nak buat di rumah? Tak ada kerja nanti jatuh sakit pula,” katanya. – Sinar Harian