Bawa pindaan RUU355 bukti angkat syiar Islam

KENYATAAN bahawa Kerajaan Persekutuan ingin meningkatkan syiar Islam dengan peningkatan peruntukan kepada RM1.2 bilion dalam Bajet 2019 boleh dipersoalkan banyak pihak. Kalau kerajaan serius, hasrat ini sepatutnya turut direalisasi dengan inisiatif menaiktaraf institusi Perundangan Syariah ke peringkat yang lebih tinggi. Namun kerajaan dilihat gagal berbuat demikian.

Mahkamah Syariah yang diamalkan di negara ini berada lebih rendah berbanding Mahkamah Sesyen dan Majistret, walhal ia adalah institusi tertinggi dalam menghakimi urusan umat Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri.

Maka, kerajaan digesa mengemukakan semula pindaan Akta 355 sebagai langkah meningkatkan syiar Islam sebagaimana yang dibentang Menteri Kewangan dalam Bajet 2019 tempoh hari.

Tambahan lagi, sewajarnya Kerajaan Persekutuan melakukan penelitian bagi menyelesaikan konflik pertembungan Mahkamah Syariah dan Sivil khususnya melibatkan Akta 164. Polemik panjang bagai tiada berkesudahan meskipun dengan pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988.

Malah, penyelesaian terhadap konflik yang timbul tidak seharusnya berhenti dengan pindaan tersebut, bahkan sudah sampai masanya proses harmonisasi kedua-dua institusi mahkamah ini dibincang dan direalisasikan secara serius.

Penyelesaian “federalizing the shariah court” yang turut dikemukakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dalam pelbagai penulisan beliau boleh dijadikan sandaran utama dalam proses harmonisasi ini selain menilai sama ada ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sewajarnya hasrat meningkatkan syiar Islam tidak hanya retorik semata-mata. Saya mengharapkan agar aspek Perundangan Syariah turut diangkat dan ditambahbaik dalam negara ini. Sesungguhnya, hal ini adalah syiar yang utama bagi umat Islam.

“Islam Memimpin”

DATO’ HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 5/11/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/8630-bawa-pindaan-ruu355-bukti-angkat-syiar-islam

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment