SHAH ALAM: Hujan lebat dan angin kencang lebih dua jam sebentar tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Seksyen 13, di sini, mengalami banjir kilat.
Tinjauan mendapati kawasan di sekitar Stadium Shah Alam dan pejabat di Seksyen 13, ditenggelami air menyebabkan ada kenderaan yang tidak dapat bergerak, manakala peniaga makanan terpaksa menghentikan sementara jualan masing-masing.
Bagaimanapun, air mulai surut selepas hujan berhenti sekitar jam 4 petang tadi dan keadaan lalu lintas kembali lancar.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
“Setakat ini, kami tidak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dan keadaan masih lagi terkawal.
“Kami juga tidak menerima panggilan pokok tumbang dan sebarang insiden yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.