Bekas penggerak Tukar mohon maaf

KOTA BHARU: Bekas penggerak gelombang Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar) ketika kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13, Kamaruddin Kassim memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negeri ini.

Beliau yang muncul di pentas ceramah Anak Muda di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi meminta maaf kerana mengepalai gerakan tersebut bagi menukar kerajaan PAS pada PRU lepas.

“Malam ini saya memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan di atas tindak tanduk saya sebelum ini.

“Sayalah yang menggerakkan gelombang tersebut ke seluruh jajahan bagi mengajak rakyat menukar kerajaan PAS pada PRU lepas,” katanya.

Ketika kempen PRU 13 Kamaruddin menjelajah ke seluruh Kelantan dengan kempen menukar kerajaan PAS. Beliau ketika itu merupakan orang kuat kepada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun sekarang beliau meluahkan rasa insaf selepas melihat Umno bergelombang dengan pelbagai masalah terutamanya kemelut 1MDB.

“Kalau hendak tukar Kelantan kita kena tukar kerajaan di Putrajaya terlebih dahulu. Saya sekarang bersama dengan pemuda PAS, PKR  dan Bersatu akan mempertahankan Kelantan pada PRU ke-14 nanti.

“Usahlah Umno bermimpi hendak rampas Kelantan, parlimen yang Umno menang dengan jumlah undi yang kecil dijangka akan terlepas di tangan PAS dan pakatan pembangkang,” katanya yang juga Setiausaha Penerangan Bersatu Kelantan.

Hadir sama pada ceramah itu Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Naib Presiden Ikatan, Datuk Seri Badri Abdul Rahman, Ketua AMK, Dr Hafiz Rizal, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shari dan bekas Naib AMK Pusat, Nazri Yunus. – HARAKAHDAILY 30/12/2016

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment