Belanjawan 2019: 5 sisi kejayaan, kegagalan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary mengemukakan lima sisi kejayaan dan kegagalan Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu.

Menurutnya, kejayaan dan kegagalan pertama belanjawan ialah berjaya dibentangkan buat pertama kalinya oleh Pakatan Harapan akan tetapi gagal dibentangkan bersama dengan parti PAS, sebagai sebuah parti bertunjangkan Islam, yang telah puluhan tahun berjuang membela dan mempertahankan Islam.

“Ini mengakibatkan pembentangan Belanjawan 2019 gagal dirangka berpedomankan Al-Quran dan As Sunnah dan lebih didominasi oleh sebuah dasar gabungan nasionalis yang diwakili oleh PPBM, demokrat Keadilan dan sosialis DAP.

“Akibatnya suara dan pendekatan Islam dalam penyelesaian negara terpinggir, ini terbukti apabila belanjawan ini gagal menonjolkan usaha lebih memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana perkara 3 perlembagaan persekutuan,” katanya membahaskan Belanjawan 2019 dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kejayaan dan kegagalan kedua ialah berjaya membawakan tema Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik dan Rakyat Sejahtera tetapi masih gagal membawa satu tema yang lebih tepat bagi menunjukkan peralihan sebuah kerajaan baru selepas 61 tahun diperintah BN, bahkan gagal meletakkan reformasi sebagai tema belanjawan.

“Islam Rahmatan Lil aalamin sudah lama tidak berkumandang, sepatutnya tema Belanjawan 2019 yang lebih baik dan tepat adalah berbunyi ‘Reformasi dan Rahmat Untuk Semua’,” katanya.

Marzuk berkata, kejayaan dan kegagalan ketiga ialah berjaya menambah secara ketara kepada jumlah keseluruhan RM314.5 bilion dan sektor pendidikan RM60.2 bilion, tetapi gagal memperuntukkan secara nyata dan melegakan bebanan rakyat bawah seperti orang miskin, ibu tunggal, nelayan, petani dan penoreh.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Wanita sepatutnya memperolehi peruntukan yang jauh lebih besar, khususnya dalam menangani kemiskinan.

“Kelantan sebagai negeri yang ramai ketua isi rumah miskin tegar di Semenanjung, dengan angka 7,805 sepatutnya pada tahun 2019, separuh daripadanya telah dikeluarkan daripada paras miskin tegar.

“Namun sayangnya nama Kelantan langsung tidak tercatat dalam belanjawan kali ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kejayaan dan kegagalan keempat Belanjawan 2019, apabila hanya berjaya meneruskan format pembentangan buku anggaran perbelanjaan persekutuan ala pemerintahan BN, tanpa banyak pembaharuan yang lebih merakyat.

“Buku Belanjawan 2019 mampu melaporkan jumlah bilangan penjawat awam, tetapi gagal melaporkan jumlah orang miskin, ibu tunggal, petani, nelayan dan penoreh yang menderita menanggung beban.

“Apakah yang menghalang kerajaan Pakatan Harapan melakukan perubahan yang lebih baik dalam pembentangan dan format Bajet 2019?” soalnya.

Beliau juga berkata, kejayaan dan kegagalan kelima adalah, ucapan Belanjawan 2019 dimulai oleh Menteri Kewangan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu, sekali gus gagal memberi keutamaan kepada melaksanakan harapan rakyat.

Namun begitu, katanya tepat sekali apa yang Tun Daim tegur Kerajaan Pakatan Harapan, supaya berhenti menyalahkan kerajaan lama tetapi nasihat daripada Penasihat Kerajaan Malaysia tidak diendahkan oleh Menteri Kewangan.

Beliau juga mempersoalkan apakah kerajaan ingin meneruskan perbuatan dan dasar menyalahkan kerajaan terdahulu. – HARAKAHDAILY 15/11/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8739-belanjawan-2019-5-sisi-kejayaan-kegagalan

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
20Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment