BELANJAWAN 2020 : KE ARAH MANA EKONOMI GIG DAN ANAK MUDA?

webmaster

1. SAYA terpanggil untuk menulis berhubung topik ini selepas mendengar jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat minggu lepas berhubung langkah kerajaan untuk membela pekerja-pekerja yang berada di dalam industri ekonomi gig. Di dalam menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mengadakan suatu garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini selain mewajibkan golongan itu memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah, Perdana Menteri menjawab bahawa negara masih belum mempunyai garis panduan atau peraturan berkaitan yang membolehkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang didapati menindas pekerja sektor ekonomi gig.

2. Di peringkat antarabangsa, sekurang-kurangnya tiga perkembangan menarik berkaitan Ekonomi Gig yang berlaku mutakhir ini. Pertama, California Assembly Bill 5 (AB5) telah diluluskan bulan September lalu. Akta AB5 digubal untuk mengklasifikasikan status pekerja bebas atau prekariat (independent contractors) yang bekerja dalam sistem Ekonomi Gig turut sama menikmati layanan faedah sebagai pekerja syarikat.

3. Kedua, Ketua Pegawai Eksekutif Gojek, Nadiem Makarim telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan (MENDIKBUD) Indonesia. Menteri paling muda dalam kabinet baru Presiden Jokowi meninggalkan dunia korporat ketika firma Gojek dianggarkan bernilai AS$10 bilion. Gojek antara e-hailing terkemuka yang mendapat suntikan dana lebih AS$1 bilion dari Tencent dan Google.

4. Ketiga, firma MBO Partner melaporkan pekerja bebas menyumbang AS$1.28 trilion untuk ekonomi Amerika pada tahun 2018. Lebih 1/3 atau lebih kurang 57 juta tenaga buruh di negara Uncle Sam bekerja dalam kitaran Ekonomi Gig. Kira-kira 78% pekerja bebas lebih gembira dan 68% lebih sihat berbanding bekerja dalam lapangan kerja tradisional.

5. Tiga perkembangan tersebut menunjukkan Ekonomi Gig sedang memacu laju dan mula membentuk trend pekerjaan global. Apa yang lebih menarik, firma Edison Research melaporkan 38% daripada belia yang berumur 18 hingga 34 tahun sedang bekerja, manakala 53% daripada mereka memperoleh sumber pendapatan utama daripada Ekonomi Gig.

6. Sebenarnya Ekonomi Gig bukan fenomena baharu. Pekerja bebas (freelancer) seperti konsultan telah lama wujud. Ia mula menjadi salah satu megatrend global disebabkan oleh peranan teknologi. Kepesatan teknologi telah dianggap sebagai ‘disruptive innovation’ dan membuka ruang yang lebih luas kepada pekerjaan yang berorientasikan ‘gig’ untuk diakses oleh kebanyakan individu.

Maka, apakah konsep Ekonomi Gig?

7. Tiada satu definisi universal bagi Ekonomi Gig. Istilahnya diperkenalkan oleh Tina Brown pada tahun 2009, pasca kemelesetan ekonomi global. Investopedia menakrifkannya sebagai, “flexible jobs are commonplaces and companies tend towards hiring independent contractors and freelancers instead of full-time employees”.

8. Mereka yang bekerja dalam sektor ini biasanya dipanggil ‘freelancer’ atau ‘gigger’. Selain itu, terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan. Sebagai contoh, ‘Sharing Economy’, ‘Collaborative Economy’, ‘Digital Economy’, ‘Crowd Economy’ dan ‘Peer Economy’. Perkhidmatan yang ditawarkan samada tugasan berbasis kemahiran atau tugasan berbasis kehendak.

9. Ekonomi Gig adalah pekerjaan yang berasaskan kontrak jangka masa pendek dan pekerjaan bebas dengan disokong oleh aplikasi teknologi. Tiga komponen utama dalam Ekonomi Gig. Pertama, pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu. Kedua, pelanggan mahu perkhidmatan spesifik. Ketiga, syarikat membina medium antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan platform aplikasi terknologi seperti Grab, TaskRabbit dan BungkusIt.

10. Satu contoh menarik ialah FlexingIt yang berpangkalan di New Delhi. Pengasas FlexingIt, Chandrika Pasricha yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang konsultansi memulakan inisiatifnya sebagai ejen ‘matchmaker’ antara syarikat dan profesional. Hari ini, FlexingIt sedang menghubungkan seramai 90,000 konsultan profesional, sebanyak 3,500 syarikat pelbagai industri dan sejumlah 5,800 projek.

11. FlexingIt menawarkan lebih lapan kategori pekerjaan utama, berkemahiran luas daripada peringkat rendah hingga tinggi dan pakej pembayaran yang kompetitif. Contoh ini menunjukkan bagaimana syarikat menawarkan satu bentuk model bisnes Ekonomi Gig yang memberikan banyak peluang kepada pekerja bebas memperoleh upah dengan jadual kerja yang fleksibel dan diuruskan menerusi ekosistem teknologi.

Adakah Malaysia sudah bersedia?

12. Belanjawan 2020 yang dibentang pada 11 Oktober lalu telah memfokuskan satu bahagian penting mengenai ekonomi digital. Ia dijadikan satu teras utama untuk menunjangi pertumbuhan ekonomi negara. Beberapa tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan antaranya pembinaan infrastruktur, aplikasi, syarikat dan masyarakat digital.

13. Namun, Kerajaan Persekutuan belum mempunyai misi yang jelas bagaimana menyediakan peluang dan rantaian pekerjaan berasaskan Ekonomi Gig untuk menggantikan pekerjaan tradisional di Malaysia. Tambahan pula seramai 51,365 orang graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan selepas setahun tamat pengajian. Bagaimana ekosistem Ekonomi Gig boleh membantu mereka?

14. Malaysia masih berada pada fasal awal untuk mengawal selia Ekonomi Gig. Justeri tidak hairanlah Perdana Menteri dalam jawapannya di Dewan Rakyat itu menjelaskan, Kerajaan Persekutuan akan memberikan tumpuan khas kepada Ekonomi Gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025.

15. Kerajaan Persekutuan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Mereka ditugaskan untuk merangka ekosistem Ekonomi Gig terutama daripada aspek regulasi, pembelaan terhadap kepentingan pengguna dan pekerja.

16. Dua isu utama berkaitan Ekonomi Gig yang mendapat perhatian baru-baru ini di Malaysia. Pertama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan mengenakan denda sebanyak RM86.8 juta kepada Grab kerana menindas dan mengganggu pasaran pesaingnya. Kedua, lebih kurang 100 orang pekerja bebas Foodpanda berpiket di beberapa negeri kerana tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baharu yang diperkenalkan oleh syarikat.

Ekonomi Gig dan Anak Muda Malaysia

17. Keseluruhan tenaga buruh di Malaysia sehingga Ogos 2019 ialah 15.71 juta orang. Sebanyak 520 ribu (3.3%) daripadanya adalah penganggur dan hampir 60% daripada jumlah penganggur tersebut terdiri dalam kalangan belia. Kadar peratusan sebenar jumlah penganggur dalam kalangan belia mencecah dua angka (10.9%), meningkat secara marginal sebanyak 0.2% berbanding tahun 2015.

18. Cabaran paling besar adalah ‘missmatched’ dalam peluang pekerjaan yang telah disediakan. Bayangkan daripada 1.47 juta pekerjaan yang ditawarkan, hanya 4.5% dikhususkan hanya untuk golongan profesional, lepasan tertiari dan berkemahiran tinggi. Selebihnya adalah untuk pekerjaan berkemahiran rendah. Bagaimana golongan belia mahu memenuhi pasaran tersebut sekiranya kerja dan upah yang ditawarkan tidak sepadan dengan ilmu dan kemahirannya?

19. Hal tersebut membawa kepada satu isu baharu iaitu ‘underemployment’. Saya tertarik dengan satu contoh yang disiarkan dalam The Star bertarikh 24 September 2019 bertajuk, ‘Address the underemployment issue’. Penulis menyatakan, “From 2010 to 2017, more than 170,000 graduates entered the workforce. However, there were only 98,000 high skilled employment gains in that period, according to Bank Negara. That means that out of every 10 graduates, more than four were forced to take jobs for which they were overqualified”.

20. Persoalannya, adakah Ekonomi Gig mampu atasi masalah pengangguran dan pekerjaan di bawah potensi sebenar (underemployment) dalam kalangan anak muda? Ekonomi Gig boleh menyelesaikan masalah pengangguran tetapi bekerja sebagai prekariat sukar untuk mengatasi kemelut ‘underemployment’ dan ‘jobs security’. Jika ini berlaku, anak muda akan terus terperangkap dalam lingkungan berpendapatan rendah dan sederhana tidak boleh ditembusi.

21. Perkara ini dapat diatasi sekiranya anak muda meningkatkan keberdayaan diri dengan kemahiran tinggi dan mempunyai mentaliti keusahawanan yang betul. Mereka perlu mencipta peluang pekerjaan baharu dengan menjadi seorang prekariat yang menawarkan pekerjaan profesional dan bernilai tinggi. Keluar daripada kepompong ‘cukup makan’ dan mula membina jenama sendiri.

Ahmad Fadhli bin Shaari,
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

29 Safar 1441 | 28 Oktober 2019

Sumber: https://www.facebook.com/ahmadfadhli80/posts/2499392996808190

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

KESALAHAN BERLAGAK LAIN JANTINA DIDENDA

oleh Salmah Mat Husain KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terus istiqamah ke arah mendokong pelaksanaan hukum syariah sepenuhnya dengan memperkasa undang-undang syariah di negeri ini. Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini sebulat suara meluluskan pindaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah (1) […]

Subscribe US Now