Bendung aktiviti tidak bermoral

YB.Dato_Ab._FattahKOTA BHARU – Kerajaan negeri akan mempertingkatkan pelbagai kesedaran bagi membendung rakyat negeri ini ke sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok bagi melakukan aktiviti tidak bermoral di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kesedaran tersebut penting kerana undang-undang sahaja tidak membantu membendung gejala yang dikatakan semakin berleluasa itu.

“Tambahan pula dengan adanya lorong-lorong tikus dan pangkalan haram, ia akan melumpuhkan undang-undang yang dijalankan. Sebab itu kita tidak melihat perkara ini boleh diselesaikan dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat.“Ia tetap memerlukan cara yang lebih mendalam iaitu dengan kempen kesedaran dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan pegawai kerajaan di Golok yang mendakwa berlaku kepesatan industri dadah dan pelacuran di bandar terkenal sempadan selatan Thai tersebut ekoran kemasukan ramai lelaki Kelantan ke kawasan itu.

Malah laporan itu turut mendakwa, perkara tersebut berlaku apabila kerajaan negeri mengharamkan segala bentuk hiburan ke negeri itu sehingga memberi kesan kepada rakyat mereka sendiri.

Fattah berkata, kesedaran tersebut adalah untuk semua lapisan masyarakat terutamanya anak-anak muda dan ia  melibatkan kerjasama semua jabatan dan agensi yang ada.

Malah beliau juga memberitahu, tidak adil bagi mana-mana pihak menuding jari kepada kerajaan Pas Kelantan sebagai punca terjadinya aktiviti tidak bermoral tersebut sekali gus menunjukkan rakyat Kelantan tidak menjaga dan menghormati nama negeri Serambi Makkah ini.

“Bila cakap tentang Kelantan, semua orang akan pandang rakyat Kelantan lah menjadi punca. Sedangkan mereka tidak tahu, Kelantan adalah salah satu pintu masuk, ini bukan bermakna semua yang melakukan perkara tidak bermoral itu adalah rakyat Kelantan.

“Mereka boleh juga datang dari negeri-negeri lain tetapi menjadikan Kelantan sebagai laluan masuk utama. Maka kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak, sedangkan ia sebaliknya. Kita mahu satu perubahan berlaku hasil daripada kesedaran yang kita gerakkan,” katanya.- SINAR HARIAN 11 OKTOBER 2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment