BERAS SIDA WANGI, IKON PREMIUM BAHARU

webmaster

oleh Norzana Razaly

PASIR PUTEH – Kerajaan Negeri Kelantan amat prihatin dengan situasi semasa menimpa rakyat khususnya golongan petani yang mendepani risiko penurunan pengeluaran padi akibat Covid-19.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YBM Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mengambil inisiatif mempromosi Beras Sida Wangi sebagai ikon produk premium negeri Kelantan.

Dalam ucapan aluan, YBM Saripudin menjelaskan nisbah pengeluaran beras tersebut merosot 850 tan sahaja pada tahun 2020 berbanding 1500 tan, tahun lepas.

“Peluang perniagaan produk premium Beras Sida Wangi dibuka kepada semua usahawan Gerakan Pertanian Al-Falah”, serunya.

Majlis pelancaran produk tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi di Pusat Belian Padi, Jelapang Timur Enterprise, Banir Belikong, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

Dalam ucapan perasmian beliau memuji semangat kerjasama pihak Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Syarikat Kumpulan Mihoda dari Kedah yang merancang pengeluaran produk khas tersebut bagi melariskan jualan tanaman petani Pasir Puteh dan Bachok.

“Ikon premium yang dikilangkan oleh Kilang Beras Mihoda Sdn. Bhd. (Mihoda) berjenama umum Rasa Riang yang ditambah perkataan “sida” kepada beras wangi tersebut berinspirasikan bunga Ketam Guri (Sida Rhombifollia Sp) yang sangat sinonim motifnya dalam seni ukiran kayu dan penghasilan corak batik canting di Kelantan,” katanya.

Beliau mengulas lanjut, Beras Sida Wangi, diangkat sebagai produk premium kerana memiliki ciri-ciri menawan terutamanya kelembutan dan semerbak haruman pandan yang memikat hati pengguna.

Pengarah Urusan Mihoda, Dato’ Paduka Haji Mohd Ismail Haji Othman turut menjelaskan, penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu mendapati kajian awal terhadap ekstrak Beras Sida Wangi berpotensi sebagai perencat sel kanser kolon dan makanan mudah hadam bagi bayi.- UPKN KELANTAN 6/4/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

DIVIDEN PESERTA LADANG RAKYAT BANTU RINGANKAN BEBAN

oleh Che Maziah Mat PENGKALAN CHEPA : Seramai 4,697 orang penerima dividen Ladang Rakyat peringkat kali ke-52 bagi tahun 2020 hadir bagi menerima baucar tunai masing-masing. Majlis penyerahan tersebut telah dirasmikan oleh ADUN Panchor yang juga Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar bin Abdullah bertempat di Kompleks PURNAMA. Dengan […]

Subscribe US Now