BERBUKA PUASA TEPI PANTAI PIKAT PENGUNJUNG

PASIR PUTEH – Restoran Bunyi Ombak di Pantai Mek Suri, Tok Bali menawarkan konsep berbuka puasa secara terbuka sambil menikamati panorama indah pesisir pantai.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semerak YB Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, konsep berbuka puasa sebegitu sangat bagus kerana suasana tenang dilatari tiupan angin dan pantai yang bersih dapat meningkatkan lagi kesyukuran dan keimanan kita terhadap kebesaran Allah SWT.

Padangannya disokong seorang pengunjung tegar restoran tersebut.

“Saya sudah tiga kali datang ke restoran ini kerana menu ikan bekok bersama sayur lemak dan ulam-ulaman sangat membuka selera,” akui Raja Selafudin Raja Kadir, 52, ketika ditemui semalam.

Beliau menyatakan ahli keluarganya amat menggemari juadah yang disediakan di restoran itu yang memikat mereka kerap kali berkunjung ke situ.

Manakala bagi Muhamad Ridhuwan Mohd Nor, 29 dari Kampung Kulim Pasir Puteh pula berkata, beliau dan rakan-rakannya pertama kali berkunjung ke situ untuk merasa sendiri suasana berbuka puasa secara santai.

“Aktiviti iftar di tepi pantai kini semakin menular. Saya seru pengunjung pakat jaga kebersihan untuk keselesaan kita bersama,” sarannya.

Dalam pada itu, pemilik restoran Mohd Zain Hussin, 44, memaklumkan secara purata jumlah pengunjung hadir untuk berbuka puasa ialah sekitar 300 orang setiap hari.

“Alhamdulillah, Kelantan aman makmur, rakyat hidup sejahtera berkat pemimpin amalkan dasar Islam, kita orang berniaga pun senang cari makan,” ujarnya.

Tambahnya, antara menu istimewa yang ditawarkan ialah ikan bekok goreng daripada pelbagai spesies seperti jenahak, ikan merah, cencaru dan gelama.

Pautan

(Visited 6 times, 1 visits today)

Add Comment