Beri keadilan, tunai hak kepada Kelantan

webmaster

KUALA LUMPUR: Biarpun berlaku perubahan pada tema RMK11, setiap perancangan dan tindakan kerajaan mestilah berpaksikan kepada rakyat, yakni memberi manfaat yang maksimum secara menyeluruh.

Iaitu dalam maksud lain, tidak mementingkan golongan atau kroni tertentu sahaja, demikian penegasan oleh Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) pada perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal RMK11, di Parlimen semalam.

Menurutnya, negara tidak akan menjadi maju seandainya terdapat negeri-negeri dimundurkan, seperti tidak mempunyai sistem pengangkutan yang baik atau infrastruktur-infrastruktur lain.

Kelantan ujar beliau sebagai contoh, telah dianak tirikan sejak lebih 28 tahun lalu bermula 1990 di bawah Perdana Menteri (PM) keempat yang juga PM pada hari ini di mana dinafikan hak untuk mendapatkan lebuh raya dan pelabuhan.

“Kita (juga) dinafikan hak untuk mendapat lapangan terbang antarabangsa walaupun Kota Bharu itu adalah di antara lapangan terbang yang tersibuk dalam negara.

“Kita diabaikan dalam pembangunan untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk satu jangka masa yang lama. Kita diabaikan dalam banyak projek-projek pembangunan yang boleh membangunkan negeri.

“Paling besar kita dinafikan hak untuk mendapatkan pendapatan bagi membangunkan sendiri negeri ini iaitu royalti petroleum yang terhak kepada Kerajaan Kelantan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta Petronas.

“Kalau wakil daripada Sabah dan Sarawak menyatakan ketidakpuashati mereka terhadap sumbangan ataupun bayaran royalti kepada mereka dengan kadar 5 peratus, Kerajaan Negeri Kelantan hanya dibayar dengan kosong peratus,” luahnya.

Beliau turut memetik pandangan Peguam Negara yang pernah mewakili Kerajaan Kelantan dalam tuntutan royalti telah menyatakan bahawa tidak ada sebab tidak boleh menang dalam kes tuntutan itu melainkan hanya kerana tekanan politik.

Semalam kata Che Abdullah, mereka yang dulunya menuntut royalti itu telah berada dalam pihak kerajaan di mana sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk melakukan keadilan kepada Kerajaan Kelantan dengan terus membayar royalti tanpa sebarang dalih lagi.

“Cuba bayangkan kesan daripada pengabaian ini yang bukan sahaja memberi kesan semasa kepada rakyat, tetapi ia memberi kesan jangka panjang yang membantutkan pembangunan ekonomi kini dan akan datang.

“Ia juga memberi kesan berganda yang cukup besar terhadap pembangunan ekonomi negeri ini yang akhirnya membantut usaha menjadikan Malaysia negara maju. Amat menghairankan kita, apabila ada pihak yang merasa gembira di atas kemunduran negeri-negeri yang dianaktirikan ini.

“Kita boleh terima kiranya perasaan gembira ini disuarakan oleh pimpinan politik kampung. Namun amat malang kepada rakyat Malaysia apabila perasaan bangga dan gembira ini dilahirkan ataupun terlahir daripada pimpinan utama negara yang sepatutnya bertanggungjawab membangunkan semua wilayah dalam negara ini,” kesalinya.

Beliau turut memuji prinsip-prinsip ditegaskan PM di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu khususnya berkaitan masyarakat dunia yang teraniaya dan jaminan diungkapkan beliau.

Sehubungan itu, beliau merayu atas semangat kasih sayang, keprihatinan dan demokrasi yang tinggi agar janganlah didera rakyat Kelantan, sebaliknya kembalikan hak dinafikan sebelum ini.

“Gunakanlah peluang kedua yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada PM hari ini untuk membetulkan kesilapan beliau masa lalu. Jangan biarkan Negeri Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand dilihat lebih mundur daripada kawasan sempadan negara jiran itu.

“Sepatutnya menjadi prioriti kepada Kerajaan Malaysia untuk memajukan kawasan sempadan negara. Kerana ia membawa imej yang besar kepada negara di mata dunia. Hari ini, Thailand telah lama membina tebatan banjir di sungai sempadan yang menyebabkan air dari sungai yang sama hanya membanjiri sebelah Negeri Kelantan sahaja.

“Rakyat Kelantan juga menumpang tuah lebuh raya negara Thailand yang memilih untuk pergi ke Utara Tanah Air seperti Kedah dan Perlis melalui Thailand. Kerana di sempadan negara jiran yang penduduknya 80 peratus beragama Islam di Negara Thailand itu, mereka mempunyai lebuh raya.

“Tetapi di negara kita di sempadan Negara Thailand itu di Negara Malaysia yang penduduknya lebih 90 peratus beragama Islam di Negara Malaysia ini, mereka dinafikan hak untuk mendapat lebuh raya,” kemuka beliau.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata, banyak wang negara yang dibelanjakan di negara jiran itu sekali gus turut memberikan kesan ekonomi kepada negara.

Dato’ Che Abdullah juga menggesa jangan didera rakyat Kelantan hanya kerana pilihan politik, sedangkan rakan-rakan di sebelah kerajaan dulunya adalah pejuang kepada kebebasan berpolitik.

“Apakah setelah diberi kuasa, tiba-tiba pendirian berubah 180 darjah? Saya menyeru kepada PM, jangan akur kepada suara-suara nakal pemimpin-pemimpin politik murahan yang hanya mementingkan diri dan bertindak atas dasar dendam kesumat dan kebencian.

“Pandangan sentiasa berubah mengikut kedudukan dan kepentingan diri. Semasa mereka bersama dengan Kerajaan Kelantan, mereka menyatakan royalti mesti disalurkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Tetapi apabila mereka tidak lagi dipilih oleh rakyat Kelantan sebagai pimpinan Kerajaan Negeri, mereka memberikan pelbagai alasan untuk menafikan hak Kerajaan Negeri.

“Semasa mereka menjadi pembangkang dalam negara ini, mereka menyerang kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN masa itu. Tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka bertindak seperti kerajaan yang terdahulu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/10/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8564-beri-keadilan-tunai-hak-kepada-kelantan

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Pelantikan MPKK bidang kuasa negeri

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah mempertikaikan peranan Senator Dato’ Husam Musa berhubung pelantikan ahli Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK). Sedangkan kata beliau, keputusan mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyerah pelantikan serta pemilihan itu kepada kerajaan negeri. Menurutnya, pada peringkat pusat badan itu dikenali MPKK, manakala di […]

Subscribe US Now